Menjelang Kemerdekaan: Hormati Jalur Gemilang, Isu Bendera Bukan Politik – Mohd Zaidy
JEMPOL, 14 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan bahawa pembangunan dan kemajuan negara perlu sentiasa seiring dengan semangat jati diri serta kecintaan kepada tanah air.
Beliau berkata, isu Jalur Gemilang tidak wajar dipolitikkan kerana ia merupakan lambang kedaulatan negara yang perlu dihormati oleh setiap warganegara, tanpa mengira bangsa atau agama.
“Jalur Gemilang adalah identiti Malaysia. Meletakkannya dalam keadaan yang negatif, termasuk dipasang secara terbalik, adalah satu penghinaan yang tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya.
Menurut beliau, perbuatan memasang bendera secara terbalik tidak boleh dianggap remeh kerana ia membawa maksud simbolik yang boleh disalah tafsir sebagai tanda protes, kecuaian atau sikap tidak menghormati negara.
“Ini bukan soal politik, bangsa atau agama. Ini soal maruah dan kedaulatan negara, lebih-lebih lagi dalam bulan Ogos yang kita raikan sebagai bulan kemerdekaan. Mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul adalah tanda kesyukuran dan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.
Datuk Mohd Zaidy juga menyeru semua pihak termasuk pemimpin komuniti, sekolah, agensi kerajaan, premis perniagaan dan penduduk setempat untuk memastikan bendera yang dikibarkan berada dalam keadaan sempurna, tidak lusuh, koyak atau dipasang terbalik.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan memasang bendera terbalik sama ada disengajakan atau tidak, boleh mengundang salah faham dan mencetuskan sensitiviti rakyat.
“Pembangunan fizikal yang kita capai tidak akan bermakna jika semangat patriotisme dan jati diri semakin luntur. Setiap rakyat perlu memainkan peranan menjaga simbol negara ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zaidy turut memaklumkan bahawa beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd Faizal Ramli.
Katanya, mensyuarat tersebut membincangkan pelbagai perkara penting berkaitan pemeliharaan warisan, pengukuhan adat istiadat Melayu, serta inisiatif pembangunan teknologi, inovasi dan digital di Negeri Sembilan.
“Saya komited untuk terus memberikan pandangan, sokongan dan kerjasama demi memastikan agenda warisan dan adat istiadat Melayu terus diperkasakan, di samping memacu perkembangan teknologi dan inovasi demi kemajuan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online