Puteri UMNO Kecam Serangan Terhadap Keluarga Rafizi, Gesa Siasatan Terperinci
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi, menyifatkan insiden ugutan dan serangan terhadap keluarga bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, sebagai satu tindakan yang amat dikesali dan tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata, tiada isteri atau anak sesiapa pun wajar diperlakukan sedemikian rupa hanya kerana mungkin “dendam” terhadap si bapa.
“Tidak kira darjat atau pangkat, keselamatan mereka perlu menjadi keutamaan. Tiada siapa yang layak menghadapi perkara ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamellya turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan pelaku dihukum sewajarnya, sekali gus memberi mesej tegas kepada mana-mana pihak yang berkemungkinan berniat melakukan perkara sama.
Menurutnya, Malaysia yang berada di tangga ke-10 negara paling aman di dunia berdasarkan Global Peace Index (GPI) 2024 perlu memastikan keamanan itu terus terpelihara, terutama bagi menjamin keselamatan wanita dan kanak-kanak.
Beliau turut mendoakan agar urusan Rafizi sekeluarga dipermudahkan serta diberikan perlindungan oleh Allah SWT, sambil mengingatkan semua pihak agar sentiasa berwaspada terhadap keadaan sekeliling. – UMNO Online