UMNO Sabah Bersedia, PRN Kali Ini Pentas Uji Ketahanan – Bung Moktar
KOTA KINABALU, 14 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang disifatkan paling mencabar, hasil persiapan rapi yang digerakkan sejak tiga tahun lalu.
Beliau berkata, jentera BN Sabah telah bekerja secara konsisten termasuk turun padang di hampir 38 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), mengadakan siri taklimat, kursus, simposium dan pelbagai bentuk latihan bagi memastikan kekuatan parti berada di tahap maksimum.
“Kita telah lalui pelbagai cabaran dan berjaya memposisikan BN di mata rakyat. Persiapan ini memberi impak besar untuk kita berdepan cabaran masa depan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama UMNO-Online.
Mengulas persepsi kononnya UMNO Sabah hanya mengikut arahan dari Semenanjung, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap ADUN Lamag menegaskan ia hanyalah dakyah politik pihak lawan untuk melemahkan parti.
“Pilihan raya ini memang persepsi itu akan muncul bermacam-macam. Parti yang bertanding pun banyak, jadi benda yang tidak ada pun akan jadi ada … walau bagaimanapun kita telah menepis isu itu kerana UMNO ini berautonomi dan kita lakukan yang terbaik untuk UMNO Sabah. Nama pun UMNO Sabah dan yang jelas itu hanyalah persepsi untuk melemahkan kita sahaja..
“Sebab itu saya selalu pesan, apa-apa isu yang melibatkan UMNO yang tidak betul kita ada ‘time frame’ bahawa kita kena ‘kill the issue’ dalam masa 30 minute hingga satu jam … kita kena ketepikan isu-isu yang tidak benar berhubung dengan dakwaan-dakwaan sama ada parti ataupun pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri. Yang penting kita kekal fokus,” tegasnya.
Menurut Bung, cabaran terbesar yang dihadapi UMNO Sabah adalah memastikan semua pemimpin bergerak seiring sebagai satu pasukan.
“Cabaran yang terbesar iaitu untuk memastikan bahawa semua pemimpin-pemimpin UMNO itu ada persefahaman dan berjalan seiring dengan satu pasukan. Sebab UMNO ini pada satu ketika dilihat kuat tetapi UMNO akan lemah apabila ada perpecahan dari dalam.
“Kalau berhadapan dengan parti-parti lawan, saya rasa UMNO adalah lebih mendahului parti-parti lain sebab kita ini berstruktur, kita bersistem dan kita mempunyai data keahlian pengundi di peringkat akar umbi.
“Parti-parti lain dia tidak berdata, tidak mempunyai apa-apa kekuatan di peringkat akar umbi dan mereka hanya mengharapkan sokongan orang ramai. Jadi dengan kelebihan-kelebihan yang ada dalam UMNO ini maka saya cukup yakin sekiranya kita gerakkan bersama dan menghadapi cabaran-cabaran dalaman ini, maka UMNO akan terus mara kedepan.”
Menyentuh program GERAK 17, beliau berkata ia dilaksanakan untuk mengukur kekuatan parti, mendapatkan maklum balas akar umbi dan memperkukuh jentera.
“Kita sudah menjelajah lebih 20 hingga 30 DUN. Selepas itu bergerak ke PDM, kemudian kampung ke kampung. Kita mahu pastikan semua masyarakat, sama ada penyokong atau tidak, menerima mesej kita tentang pentingnya perubahan di Sabah,” katanya sambil menegaskan UMNO-BN berpengalaman menyelesaikan masalah asas rakyat seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya yang rosak.
Ujarnya, bagi memastikan jentera kekal konsisten hingga ke hari pengundian, kursus dan latihan penerangan diberikan secara berterusan.
“Selepas PRN, kita akan hadapi PRU-16. Jentera tidak boleh ‘bangas’ atau terbiar. Ia mesti digilap agar sentiasa bersedia,” tegasnya.
Bung turut menekankan penguasaan medan media sosial dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam PRN kali ini.
“Mana-mana parti yang ketinggalan dalam arus media sosial akan dihanyutkan. Sebab itu cybertrooper, jentera muda, dan ejen pilihan raya kita mesti dilatih supaya sentiasa peka dan pantas bertindak,” katanya lagi. – UMNO Online