UMNO Subang Cadang Pucuk Pimpinan BN Berunding Demi Kestabilan
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – UMNO/Barisan Nasional (BN) Bahagian Subang memohon agar pucuk pimpinan setiap parti komponen dalam BN kembali ke meja rundingan demi kestabilan parti.
Ketuanya, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, parti-parti komponen di dalam BN memerlukan antara satu sama lain dan sebarang permasalahan perlu diselesaikan secara berhemah serta penuh semangat setiakawan.
“Saya mewakili UMNO/BN Bahagian Subang berpendapat bahawa semua kepimpinan BN perlu bertenang dan kembali ke meja runding ibarat sebuah keluarga besar.
“Kita saling memerlukan satu sama lain… United Malays National Organisation (UMNO), Malaysian Chinese Association (MCA), Malaysian Indian Congress (MIC), and United Sabah People’s Party (PBRS). Kita semua sahabat zaman susah dan senang.
“Rakyat sedang melihat bagaimana kita selesaikan ‘hal rumah’ secara berhemah dan penuh semangat setiakawan. Saya yakin kepimpinan tertinggi parti boleh menyelesaikan isu adik beradik BN ini di meja rundingan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Ujarnya, kritikan secara terbuka antara satu sama lain hanya akan menghantar isyarat yang tidak baik kepada rakyat.
“Saya harap janganlah ada di antara kita yang ‘hentam’ satu sama lain secara terbuka kerana ini hanya akan menghantar isyarat yang tidak baik kepada rakyat. Rakyat kini ingin melihat parti mana yang benar-benar stabil untuk menerajui negara.
“Isyarat kestabilan ini amat penting dan ia perlu bermula dengan parti kita dahulu. Jangan ada pemikiran batu api yang nak pecah belahkan parti hanya kerana mencari populis diri dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan menyakitkan hati sahabat-sahabat kita dalam BN,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan bahawa telah berpuluh tahun parti-parti komponen BN berjuang bersama dari zaman mencapai kemerdekaan sehinggalah membangunkan negara.
“Puluhan tahun kita berjuang bersama daripada mencapai kemerdekaan, membina, membangunkan, memodenkan dan memajukan Malaysia ini sudah tertulis dalam sejarah negara yang tidak mungkin terpadam.
“Saya harap semua kepimpinan utama parti memastikan akar umbi bertenang dan bersabar. Jangan serang antara satu sama lain, berikan keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk mencari titik pendamaian dan penyatuan.
“UMNO/BN Bahagian Subang mohon pucuk pimpinan kembali ke meja rundingan demi kestabilan parti,” katanya lagi. – UMNO Online