UMNO Tawau Sambut Baik Naik Taraf Lapangan Terbang, Gesa Disenarai Dalam STIZ

TAWAU, 13 Ogos – UMNO Bahagian Tawau menyambut baik pengumuman menaik taraf Lapangan Terbang Tawau dengan peruntukan RM120.9 juta yang diumumkan baru-baru ini, dan menyifatkannya sebagai langkah strategik bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di pantai timur Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata, pemodenan lapangan terbang itu mampu meningkatkan kapasiti pengangkutan udara, membuka lebih banyak laluan penerbangan domestik dan antarabangsa, selain merangsang sektor pelancongan.

Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan Persekutuan agar memasukkan Tawau dalam senarai Zon Khas Pelaburan Pelancongan (STIZ) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Ketika ini, STIZ hanya dirancang di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak sebagai pemangkin penciptaan produk pelancongan baharu. Tawau tidak seharusnya tercicir daripada arus pembangunan strategik nasional,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan.

Menurut beliau, pelaksanaan STIZ di Tawau akan membuka peluang inovasi produk pelancongan, meningkatkan peluang pekerjaan dan memperluaskan rantaian ekonomi tempatan.

“Saya percaya gabungan infrastruktur moden, strategi promosi bersepadu dan penyertaan Tawau dalam STIZ di bawah RMK13 akan menjadi pemangkin pertumbuhan baharu yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79