Kunjungan Rasmi: Malaysia-Senegal Bincang Kemajuan Kerjasama Dua Hala

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Malaysia dan Senegal telah berkesempatan untuk berbincang dan menilai kerjasama dua hala bagi mengukuhkan kolaborasi dalam bidang-bidang utama.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menghoskan majlis makan tengah hari untuk meraikan kunjungan rasmi Menteri Integrasi Afrika dan Luar Negeri Republik Senegal ke Malaysia, PYT Yassine Fall pada Isnin.

“Menghoskan majlis makan tengah hari untuk meraikan kunjungan rasmi rakan sejawat, PYT Yassine Fall, Menteri Integrasi Afrika dan Luar Negeri Republik Senegal ke Malaysia.

“Kami mengambil kesempatan berbincang menilai kemajuan kerjasama dua hala untuk mengukuhkan lagi kolaborasi dalam bidang-bidang utama, termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan, industri halal serta
pembangunan kapasiti.

“Selain itu, kami bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk perkembangan di Timur Tengah khususnya penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta situasi di Afrika Barat,” katanya.

Terdahulu, beliau telah mengiringi PYT Yassine Fall untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra sebagai lawatan timbal balas pada Mei tahun lalu.

“Mengiringi rakan sejawat, PYT Yassine Fall untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri di Perdana Putra. Lawatan dua hari PYT Yassine Fall ke Malaysia ini merupakan lawatan timbal balas kunjungan saya ke Republik Senegal pada Mei 2024 lalu.

“Untuk rekod, Malaysia dan Senegal telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak tahun 1986 dan terus mengekalkan hubungan yang mesra, konstruktif melalui kerjasama di platform dua hala serta pelbagai hala.

“Malaysia dan Senegal adalah ‘Anggota Kumpulan Enam’ berkenaan Palestine (Committee of Six on Palestine) bersama-sama negara-negara sepemikiran yang lain,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79