Projek Wagyu Pahang Bakal Jadi Ikon Kejayaan Negeri – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Projek Wagyu Pahang akan menjadi satu lagi ikon kejayaan negeri dalam sektor agromakanan, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau telah merasmikan Ladang Ternakan Ruminan Syarikat AGK Dairy Fresh Sdn Bhd yang mengusahakan lembu wagyu.
“Saya telah ke Raub untuk merasmikan Ladang Ternakan Ruminan Syarikat AGK Dairy Fresh Sdn Bhd di Bukit Kajang dan menerima taklimat mengenai perkembangan Projek Wagyu Pahang.
“Saya amat kagum melihat kemajuan projek ini sejak majlis pecah tanah pada tahun 2022, khususnya peningkatan populasi lembu Wagyu yang begitu memberangsangkan.
“Bermula dengan hanya 161 ekor pada tahun 2023, kini jumlahnya telah mencecah 317 ekor, hasil daripada kerjasama erat antara syarikat, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Ujarnya, Projek Wagyu Pahang merupakan strategi berimpak tinggi yang menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan kelebihan pensijilan halal bertaraf dunia.
“Projek Wagyu Pahang yang diusahakan ini bukanlah projek kayangan, sebaliknya merupakan strategi berimpak tinggi untuk mengangkat penternak tempatan kepada penghasilan baka premium bernilai tinggi.
“Sasaran kita bukan sahaja menembusi pasaran tempatan, tetapi juga antarabangsa, khususnya negara-negara Islam, dengan kelebihan pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf dunia.
“Selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, projek ini membuktikan bahawa pembangunan berimpak tinggi mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar projek ternakan tersebut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan meletakkan Negeri Pahang sebagai peneraju pengeluaran daging premium halal bertaraf dunia.
“Semoga projek penternakan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar, membuka peluang pekerjaan baharu, menggalakkan penglibatan belia dan usahawan tempatan dalam industri ternakan berteknologi tinggi, serta meletakkan Pahang sebagai peneraju pengeluaran daging premium halal bertaraf dunia.
“Insya-Allah, dengan komitmen padu semua pihak, Projek Wagyu Pahang akan menjadi satu lagi ikon kejayaan negeri ini dalam sektor agromakanan, sekaligus memberi sumbangan besar kepada kemakmuran rakyat dan kelestarian ekonomi negeri Pahang,” katanya lagi.
Terdahulu, Wan Rosdy juga telah hadir ke Majlis Pecah Tanah Projek Pangsapuri Pahangku di Daerah Bentong.
Maklumnya, projek tersebut Berhampiran Stesen ECRL Bentong, dengan konsep Transit Oriented Development yang membolehkan pembeli menikmati akses pengangkutan pantas, menjimatkan masa dan kos perjalanan, serta mudah bergerak ke pusat-pusat ekonomi seperti Lembah Klang, Kuantan juga Pantai Timur. – UMNO Online