UMNO Kota Belud Terus Mantap, Siap Sedia Hadapi PRN Sabah – Salleh Said Keruak
KOTA BELUD, 12 Ogos – “Kekuatan UMNO tidak terletak pada wang ringgit, tetapi pada semangat juang, titik peluh dan kerja berpasukan,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Beliau menegaskan demikian ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Tiga Sayap UMNO Kota Belud yang menghimpunkan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam satu pentas perjuangan pada Ahad.
Menurut Salleh, masa yang ada sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengukuhkan sokongan rakyat, sekali gus mempertahankan Kota Belud sebagai kubu kuat parti.
“PRN boleh berlaku pada bila-bila masa. Jangan tunggu arahan baharu untuk bergerak – dekati rakyat, berjumpa kumpulan sasaran, dan pastikan mereka memahami perjuangan UMNO untuk masa depan Sabah,” ujarnya.
Beliau berkata, kekuatan UMNO Kota Belud terbukti dengan kejayaan mempertahankan dua kerusi DUN pada PRU15 dan rangkaian cawangan yang aktif di seluruh bahagian.
Salleh turut menekankan peranan penting setiap sayap parti – Wanita sebagai tiang seri, Pemuda sebagai penggerak utama pengundi muda, dan Puteri sebagai wajah segar yang membawa mesej optimis kepada generasi akan datang.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan jentera agar menggunakan media sosial secara positif untuk menyampaikan pencapaian parti, namun kekal memberi tumpuan di lapangan bagi memastikan pengundi terus bersama UMNO.
“Dengan kesatuan, gerak kerja tersusun, dan semangat kental, insya-Allah UMNO Kota Belud akan terus kekal sebagai benteng pertahanan parti di PRN nanti,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azwan Norjan. – UMNO Online