Rapatkan Saf, Langkah Dengan Iltizam Baharu Dan Dahulukan Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merangkap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO untuk merapatkan saf, melangkah ke hadapan dengan iltizam baharu, serta meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala perbezaan.

Ujarnya, inilah masanya untuk memastikan UMNO Sabah menjadi tonggak kestabilan dan harapan yang diyakini rakyat.

“Jadikanlah persidangan ini sebagai medan memperkukuh perjuangan, menyatukan kekuatan, dan membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang benar-benar bekerja untuk rakyat.

“Walaupun setiap negeri memiliki sejarah dan realiti berbeza, semangat kita tetap satu iaitu berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Di Sabah, kepelbagaian budaya, adat, dan suara rakyat bukan sekadar dihormati, tetapi mesti diperjuangkan tanpa jemu,” katanya dalam catatan yang disiarkan di Facebook rasminya.

Terdahulu, Onn Hafiz mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Tuaran Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Azuwan Marjan Norjan atas jemputan untuk beliau merasmikan kedua-dua Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian tersebut, semalam.

Tambahnya, kehadiran beliau di Sabah bukan sekadar untuk merasmikan persidangan, tetapi juga sebagai tanda sokongan padu terhadap semangat perjuangan yang terus membara di bumi Negeri Di Bawah Bayu.

“Semoga UMNO Sabah terus teguh melangkah, menjadi tonggak kestabilan dan harapan rakyat Negeri Di Bawah Bayu, serta benteng pertahanan agama, bangsa dan tanah air.

“Dengan semangat perjuangan dan saf kepimpinan yang bersatu padu, kita akan mengangkat kembali martabat parti ini ke tahap yang lebih gemilang, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79