Projek Pangsapuri Pahangku Bukti Aspirasi Pahang 1st Beri Manfaat Kepada Rakyat
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersyukur kerajaan negeri hari ini memulakan langkah bersejarah dengan Majlis Pecah Tanah Projek Pangsapuri Pahangku di Daerah Bentong.
Katanya, projek ini bukan sekadar membina rumah tetapi membina harapan khususnya untuk anak muda, pekerja bandar dan pasangan berpendapatan sederhana yang mendambakan kediaman selesa, moden dan mampu milik.
“Berhampiran Stesen ECRL Bentong, dengan konsep Transit Oriented Development membolehkan pembeli menikmati akses pengangkutan pantas, menjimatkan masa dan kos perjalanan, serta mudah bergerak ke pusat-pusat ekonomi seperti Lembah Klang, Kuantan dan Pantai Timur.
“Projek ini adalah bukti nyata bagaimana Aspirasi Pahang 1st diterjemahkan dalam bentuk pembangunan sebenar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” kata Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu perkongsian di laman Facebook rasminya.
Selanjutnya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga mahu anak muda Pahang tidak lagi melihat pemilikan rumah sebagai impian yang jauh, tetapi sebagai realiti yang mampu dicapai.
“Dengan perancangan teliti, lokasi strategik dan harga mampu milik, inilah peluang untuk rakyat Pahang miliki rumah sendiri di bumi bertuah ini.
“Marilah kita terus bersatu hati, mengukuhkan sektor perumahan negeri dan memastikan setiap rakyat Pahang memiliki peluang hidup dengan lebih selesa, bermaruah dan sejahtera. Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan,” ujarnya. – UMNO ONLINE