Wanita UMNO Tuntut Keadilan, Ketelusan Kes Zara Qairina – Rosni

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Wanita UMNO Malaysia merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir atas kehilangan yang amat meruntun jiwa ini, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari.

Katanya, kes ini bukan sahaja menyentuh hati nurani rakyat, malah menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan, keadilan dan ketelusan proses siasatan.

“Wanita UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mengarahkan siasatan lanjut, termasuk proses menggali semula (exhume) dan bedah siasat (post-mortem) ke atas jenazah, demi memastikan segala bukti dan maklumat dapat diperoleh secara menyeluruh.

“Kami menegaskan bahawa setiap nyawa rakyat Malaysia, khususnya wanita dan kanak-kanak, adalah amanah negara yang mesti dipelihara selaras dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan; bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Pahang berkata, Wanita UMNO sentiasa berdiri teguh bersama keluarga mangsa agar siasatan dijalankan secara telus.

“Wanita UMNO berdiri teguh bersama keluarga Zara Qairina dalam menuntut kebenaran. Keadilan bukan sekadar perlu ditegakkan, tetapi mesti dilihat ditegakkan oleh seluruh rakyat,” ujarnya.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, ditemui ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi.

Pelajar itu disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79