Siri Penghinaan Jalur Gemilang Mesti Dikecam, Bukan Dijulang

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Siri penghinaan terhadap bendera Jalur Gemilang perlu dikecam dan bukan sebaliknya dijulang, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Zahid Ibrahim.

Menerusi satu kenyataan beliau berkata, perkara tersebut adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima oleh mana-mana rakyat yang cintakan tanah air.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang memandang serius siri penghinaan terhadap bendera Malaysia yang berlaku dalam negara kebelakangan ini. Perbuatan sebegini adalah amat tidak wajar dan tidak boleh diterima oleh mana-mana rakyat yang cintakan tanah air.

“Lebih mengecewakan apabila tindakan tidak sensitif ini seolah-olah direlakan oleh pihak tertentu yang dilihat gagal mengecam dengan tegas insiden-insiden telah berlaku,” katanya.

Ujarnya lagi, isu seorang orang kelainan upaya (OKU) yang dijadikan modal politik dalam hal ini juga adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

“Pemasangan bendera sepatutnya dipantau oleh individu yang berupaya, agar maruah Jalur Gemilang sentiasa terpelihara.

“Insiden terbaru, sebuah kedai mengibarkan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik juga adalah satu lagi bentuk penghinaan kepada simbol kedaulatan negara yang sangat jelas,” bidasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa tiada ruang untuk politik kepartian dan semua pihak perlu bersatu mempertahankan maruah negara termasuk dalam isu menghormati Jalur Gemilang.

“Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan dan teguran tegas yang dibuat oleh Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkenaan isu ini.

“Kami juga mencabar mereka untuk turut mengecam secara terbuka, bukannya mempertahankan dengan menyuruh mereka (pelaku) meminta maaf.

“Dalam soal menghormati Jalur Gemilang, tiada ruang untuk politik kepartian dan semua pihak mesti bersatu mempertahankan maruah negara tercinta ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79