PEMADAM Kekal Rakan Strategik Kerajaan Dalam Mendidik Masyarakat

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) sejak penubuhannya, kekal sebagai rakan strategik kerajaan dalam mendidik masyarakat, memperkukuh kesedaran dan melaksanakan program pencegahan secara berterusan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata penghargaan harus diberikan kepada seluruh kepimpinan dan sukarelawan PEMADAM yang komited menggerakkan agenda tersebut di semua peringkat komuniti.

“Kerajaan akan terus menyokong melalui dasar holistik, intervensi berkesan dan kerjasama erat antara agensi Kerajaan, pertubuhan masyarakat dan sektor swasta

“Kerjasama tersebut meliputi pendidikan awal, penguatkuasaan undang-undang, rawatan, pemulihan serta integrasi semula bekas penagih,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Perhimpunan Agung Dwitahunan PEMADAM Kebangsaan Ke-46, yang diadakan malam tadi.

Mengulas lanjut beliau juga berharap PEMADAM akan terus menjadi peneraju gerakan masyarakat dalan membanteras penyalahgunaan dadah.

Katanya melalui pendekatan yang dilakukan ia sekali gus memberikan kesedaran kepada generasi muda agar sentiasa berwaspada dan menjauhi gejala tersebut.

“Insya-Allah, kita mampu membina Malaysia yang bebas dadah, selamat dan sejahtera untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79