MB Serah Kunci PR1MA Pahang, Beri Manfaat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersyukur kerana pagi tadi dapat menyerahkan kunci rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Sri Damai, Kuantan.

Katanya, selain menyerahkan kunci di Sri Damai, beliau turut melancarkan projek perumahan PR1MA di Pandan dan Sungai Soi, juga di Kuantan.

“Sebanyak 196 unit Perumahan berkembar PR1MA Pahang telah saya serahkan kepada pemilik rumah.

“Dalam pada itu, saya juga melancarkan PR1MA Pahang Pandan melibatkan dua fasa iaitu 224 unit untuk fasa 1 dan 42 unit bagi fasa 2.

“Manakala sebanyak 110 unit rumah berkembar PR1MA Pahang akan dibina di PR1MA Pahang Sungai Soi,” kata Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Selanjutnya, Wan Rosdy juga melahirkan perasaan gembira apabila dapat melihat pemilik-pemilik rumah tersenyum gembira untuk hidup di rumah yang baharu ini bersama keluarga tercinta.

“Besar harapan saya agar kesemua pemilik rumah PR1MA Pahang dapat menjaga rumah ini dengan sebaik yang mungkin.

“Semoga PR1MA Pahang dapat memberi manfaat yang berpanjangan buat rakyat khasnya kepada penerima di negeri ini. Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan,” ujarnya lagi.UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79