Puteri UMNO Jadi Wadah Penting, Corak Kepimpinan Muda Wanita – Siti Sokhleha
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Siti Sokhleha Nordin berpandangan 24 tahun perjuangan Puteri UMNO tetap utuh terutama dalam mendepani dinamika politik.
Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Negeri Perlis menyifatkan sayap parti paling bongsu ini sebagai wadah penting membentuk sifat kepimpinan dalam kalangan wanita muda.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh ahli Pergerakan Puteri UMNO sempena ulang tahun ke-24 penubuhan sayap parti yang penuh semangat, berani dan berwawasan ini.
“Selama 24 tahun, Puteri UMNO terus menjadi wadah penting dalam mencorak kepimpinan muda wanita, menjadi suara pelapis bangsa dan mengangkat agenda perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
“Semoga Puteri UMNO terus kekal relevan, progresif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa serta menjadi benteng kekuatan UMNO yang utuh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah, Ummi Nabilah Jamal menyeru agar ukhuwah dibina terus diperkukuh.
Ummi Nabilah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Papar berkata ia penting dalam membawa aspirasi perjuangan terhadap agama, bangsa dan negara.
“Semoga Puteri UMNO terus menjadi wadah perjuangan wanita muda yang berwibawa, berilmu, dan berprinsip dalam memperjuangkan agama, bangsa, dan negara.
“Teruskan langkah ke hadapan dengan semangat juang yang kental, memperkukuh peranan sebagai pemimpin pelapis yang berani bersuara dan teguh pendirian,” ujar beliau. – UMNO Online