Semarak Merdeka Cerminan Kasih Sayang Rakyat Terhadap Negara – Noraini
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang bakal menjelang, Wanita UMNO Malaysia hari ini melancarkan Semarak Merdeka yang bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, semangat cintakan negara perlu terus dipupuk dalam semua lapisan masyarakat bagi memperkukuh perpaduan nasional dan jati diri kebangsaan.
“Pelancaran Semarak Merdeka ini adalah untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum bagi memperkukuh perpaduan dan jati diri kebangsaan.
“Wanita UMNO akan mengadakan pertandingan video-video bertemakan kemerdekaan yang dianjurkan oleh Penerangan Wanita UMNO Malaysia. Ini jelas menunjukkan aspirasi dan kasih sayang pada kemerdekaan negara ini semenjak dari zaman penjajahan sehingga kini Malaysia tetap utuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Semarak Merdeka anjuran Wanita UMNO Malaysia sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-68 dan penyerahan jalur gemilang ke negeri-negeri di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Biro Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari; Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Senator Datuk Rosni Sohar, Exco-exco Wanita dan juga Ketua-ketua UMNO Wanita negeri-negeri.
Mengulas lanjut Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berharap semangat kemerdekaan ini dapat dirasai semua golongan dalam negara ini.
“Saya harap semangat kemerdekaan ini dapat dirasai semua golongan walaupun negara ini telah mencapai kemerdekaan selama 68 tahun dan Wanita UMNO telah mengagihkan bendera jalur gemilang pada semua Ketua Wanita UMNO seluruh negeri serta menyampaikan bendera tersebut kepada masyarakat setempat,” katanya lagi.
Pada masa yang sama Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong merakamkan ucapan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-68.
“Saya mengucapkan selamat hari merdeka yang ke-68 kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga perpaduan dan semangat cintakan negara terus dipupuk dan diperkuatkan demi masa depan tanah air,” ujarnya. – UMNO Online