Kejayaan Pentadbiran Johor Bukti Kekuatan UMNO – Mohd Jafni

KULAI, 5 Ogos – UMNO tidak boleh menjadi parti yang hanya kuat ketika berkuasa, sebaliknya mesti kekal sebagai parti yang dihormati, berprinsip dan berjiwa kental sama ada berada di dalam kerajaan atau tidak, tegas Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di sini pada Ahad, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai menegaskan bahawa akar perjuangan UMNO mesti kukuh dan perpaduan perlu menjadi senjata utama parti agar terus relevan di hati rakyat.

“Jika kita benar-benar sayangkan parti, kita mesti bersatu. Kekuatan kita bukan pada nama semata-mata, tetapi pada kesatuan tekad dan kejujuran hati dalam berjuang,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan UMNO Johor yang telah membawa negeri itu mencapai pelbagai kejayaan membanggakan.

Antaranya, ujar beliau, Johor mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia pada tahun 2024 iaitu 6.4 peratus, mengatasi negeri-negeri lain termasuk Selangor dan Kuala Lumpur.

“Bagi suku pertama 2025, Johor merekodkan pelaburan tertinggi negara berjumlah RM30.1 bilion, berbanding hanya RM4.1 bilion tempoh sama tahun sebelumnya, membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan dasar mesra pelabur negeri ini.

“Dalam sektor pertanian, Johor kekal sebagai peneraju nasional dengan nilai jualan tertinggi sebanyak RM27.2 bilion, manakala sektor perumahan mencatat pelancaran projek kediaman baharu tertinggi di Malaysia iaitu 5,300 unit pada suku pertama 2025 — 34 peratus daripadanya rumah mampu milik.”

Sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Mohd Jafni berkata sehingga suku kedua 2025, kerajaan negeri telah menyiapkan 17,741 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan menyerahkan kunci kepada pemilik yang layak, manakala 12,259 unit lagi sedang dibina.

“Di Kulai sahaja, 1,254 unit telah diserahkan. Ini bukan sekadar angka, tetapi bukti dasar yang berpaksikan keperluan rakyat,” ujarnya.

Beliau juga menyentuh pelaksanaan program Rumah Prihatin Johor (RPJ) dan Rumah Kasih Johor (RKJ) berjumlah RM87.5 juta untuk membantu golongan B40 memiliki rumah pertama.

Dalam konteks DUN Bukit Permai, jelasnya, pelbagai isu legasi telah diselesaikan, termasuk masalah bekalan air 15 tahun di Gugusan Murnijaya dan Felda Bukit Permai melalui projek RM8.2 juta, menaik taraf pusingan lalu lintas di Bandar Putra (RM1.5 juta) serta jalan pintas Merbau–Kota Tinggi (RM8 juta).

Dari segi pembangunan komuniti, beliau memaklumkan bahawa DUN Bukit Permai menerima RM3.8 juta peruntukan pembangunan antara 2022 hingga 2025, termasuk RM1.02 juta untuk sekolah dan RM1.03 juta bagi masjid serta surau dengan Yayasan Sejahtera Kulai pula menyalurkan RM2.76 juta untuk program kebajikan seperti sumbangan perayaan, bantuan ‘Back To School’, subsidi cermin mata, dan geran kemasukan ke IPT.

Beliau menegaskan kejayaan-kejayaan ini adalah hasil budaya kerja “3T 1M” yang dibawa oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi iaitu Turun Padang, Teamwork, Te Syie Te Pan (penyelesaian luar biasa) dan Micromanage yang menjadikan pentadbiran negeri lebih dekat dengan rakyat.

“Sekarang adalah masa untuk kita bangkit. Bangkit bukan sekadar berdiri, tetapi bangkit dengan semangat dan akal yang waras, gerak kerja yang terancang dan jiwa ikhlas. Kita mahu UMNO yang bersih, berwibawa dan diyakini rakyat,” katanya sambil menyeru semua ahli mengukuhkan perpaduan demi kelangsungan perjuangan parti.

Persidangan UMNO Bahagain terbabit telah dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79