Kekuatan BN Sabah Terus Utuh, Tanda Keyakinan Rakyat Bersama UMNO

KALABAKAN, 5 Ogos – Kekuatan Barisan Nasional (BN) di Sabah khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu terus kukuh apabila menerima sokongan padu daripada rakyat, sekali gus memberi keyakinan BN akan mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Demikian kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan selepas merasmikan Program Radu Tetap Radu PDM Pasir Putih, di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan bersama seramai 40 orang dari bahagian terbabit telah hadir ke Program RTR, yang disambut Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasudin Yusuf bersama kepimpinan UMNO PDM Pasir Putih.

Mohd Rafi menegaskan bahawa kekuatan UMNO dan BN sejak dahulu adalah hasil sokongan padu ahli serta penyokong di seluruh negara.

Beliau mengingatkan pengundi agar membuat pilihan tepat pada PRN kali ini kerana ia bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi memilih parti yang mampu membawa pembangunan.

“Parlimen Kalabakan yang mempunyai empat DUN adalah kubu kuat BN sejak 1994. DUN Tanjung Batu tidak pernah kalah sehinggalah PRN-16 yang lepas. BN sudah membuktikan kemampuannya sejak UMNO dijemput ke Sabah pada 1991 oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Mustafa Harun. Saya yakin PRN-17 akan menyaksikan Tanjung Batu kembali kekal bersama BN,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur atas program yang disifatkan berjaya membangkitkan semangat akar umbi, khususnya jentera parti dan para pengundi di PDM Pasir Putih.

Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak dan Setiausaha Politik kepada Ketua UMNO Sabah, Ir. Aziz Zulkarnain. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79