Mohd Asna Amin Dilantik Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan

SEREMBAN, 4 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin daripada Barisan Nasional (BN), telah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dalam Persidangan Kedua Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Pelantikan tersebut dicadangkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) dan disokong oleh ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN).

Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, mengumumkan bahawa tiada pencalonan lain yang diterima bagi jawatan tersebut, sekali gus menyaksikan Mohd Asna dilantik secara rasmi tanpa sebarang pertikaian.

Pelantikan ini turut mencerminkan kerjasama erat antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, khususnya antara Pakatan Harapan dan BN, dalam usaha memperkukuh institusi demokrasi serta memastikan kelancaran perjalanan sidang DUN.

Mohd Asna Amin yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, dijangka membawa pengalaman dan kewibawaannya dalam membantu kelancaran urusan Dewan, selaras dengan amanah besar yang digalas. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79