UMNO Perkukuh Jentera Akar Umbi, Terus Perjelas Agenda BN – Salleh Said Keruak
TAWAU, 4 Ogos – UMNO digesa menggandakan usaha memperkukuh jentera di peringkat akar umbi dan kembali mendekati rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.
Gesaan itu disuarakan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, ketika berucap dalam program Radu Tatap Radu (RTR) yang diadakan di Pasar Putih, di sini.
Menurut Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, UMNO perlu menyampaikan dengan jelas hala tuju, nilai dan agenda dasar BN, khususnya kepada masyarakat tempatan.
“UMNO tidak boleh terus bergantung kepada legasi masa lalu. Kita mesti kembali ke akar umbi, mendengar suara rakyat dan menjelaskan kenapa BN kekal sebagai pilihan paling diyakini dan stabil untuk masa depan Sabah,” katanya.
Tambah beliau, proses membina semula kepercayaan rakyat menuntut keikhlasan, komitmen dan keterlibatan secara berterusan.
“Kita perlu mendekati bukan sahaja penyokong sedia ada, tetapi juga generasi muda dan pengundi atas pagar. Rakyat mahukan kejelasan, bukan sekadar janji. Kita perlu buktikan kesatuan, kesungguhan dan kesiapsiagaan untuk berkhidmat,” tegasnya.
Program RTR itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Wira Rafi Ali Hassan. Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop, serta pimpinan akar umbi dari Tanjung Batu.
Inisiatif Radu Tatap Radu merupakan sebahagian daripada strategi mobilisasi akar umbi BN Sabah untuk memperkukuh kembali kehadiran parti di peringkat bawah sekaligus memperkuat jentera menjelang pilihan raya negeri akan datang. – UMNO Online