Pertahan Kepimpinan, Perjuangan Demi Maruah – Pemuda UMNO Kinabatangan

KINABATANGAN, 4 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar menyeru seluruh barisan Pemuda untuk bangkit dengan penuh semangat mempertahankan maruah parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Berucap dalam sesi penggulungan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan yang berlangsung penuh semangat, beliau menegaskan bahawa perjuangan kali ini bukan sekadar soal individu, tetapi melibatkan masa depan seluruh rakyat Kinabatangan.

“Ini bukan bicara soal parti tempatan atau parti Malaya. Bukan juga soal Bung atau Jafry. Ini soal memartabatkan maruah daerah kita,” tegasnya lantang.

Majlis tersebut dirasmikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, di sini pada Ahad pagi dan turut dihadiri perwakilan cawangan serta barisan kepimpinan Pemuda dari seluruh bahagian. 

Beliau seterusnya menzahirkan keyakinan bahawa dua tokoh utama Kinabatangan kini sudah bersedia menggalas cabaran, meskipun dihina dan diserang saban hari oleh pihak lawan.

“Kalau kita gagal menjadi benteng mempertahankan mereka, panglima kita pasti akan tumbang. Cukuplah sekali kita gagal mempertahankan Datuk Najib dahulu. Kini beliau dirindui bukan sahaja oleh kita, tetapi oleh seluruh Malaysia,” ujarnya, sambil mengingatkan agar kesilapan lalu tidak diulangi.

Naim seterusnya menekankan bahawa walaupun barisan hadapan Pemuda sering menjadi sasaran cacian, mereka tetap setia dan tidak menuntut apa-apa imbuhan.

“Yang di bawah ini bukan mahukan bayaran. Kami hanya mahu menumpang bangga apabila pemimpin yang kami angkat berjaya. Tetapi jangan nanti bila sudah di atas, yang di bawah ini dilupakan,” pesannya.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru seluruh Pemuda UMNO Kinabatangan agar merapatkan saf dan bersatu tenaga menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Kita tidak mahu masuk perang dengan baju kebal yang bocor. Kita mahu masuk dengan satu suara, satu nada, satu benteng. Jika satu jatuh, beribu bangkit mempertahankan pasukan kita.

“Kalau kita menang, semangat kita akan menyala seperti bara api. Jika BN menang, kita akan menjadi tonggak utama. Tetapi kalau kalah, suasana pasti muram. Pilihan ada di tangan kita,” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79