Puteri UMNO Terus Teguh Sebagai Suara Wanita Muda Berani Dan Berkualiti
SEREMBAN, 4 Ogos– Pergerakan Puteri UMNO menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-24 semalam, menandakan hampir suku abad sumbangan cemerlang sayap wanita muda itu dalam perjuangan parti keramat UMNO.
Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan, Hazratul Ilani Misdar berkata sejak ditubuhkan pada tahun 2000, Puteri UMNO telah menjadi wadah penting kepada generasi wanita muda untuk menyuarakan pandangan, memimpin pelbagai inisiatif rakyat, serta menyumbang tenaga dalam memartabatkan perjuangan parti.
Ujarnya, sepanjang 24 tahun ini, Puteri UMNO telah memainkan peranan signifikan dalam mendekati generasi muda menerusi pendekatan yang segar, progresif dan berjiwa rakyat.
“Puteri UMNO bukan sekadar simbol kehadiran wanita muda dalam politik, malah telah membuktikan kemampuan melahirkan pemimpin pelapis yang berwibawa dan berdaya saing, sambil kekal berpegang teguh kepada prinsip perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan sempena ulang tahun itu.
Beliau menegaskan bahawa masa depan Puteri UMNO terletak pada keupayaan untuk menjadi peneraju perubahan secara bijaksana dan inklusif, terutama dalam memperkukuh hubungan dengan rakyat serta menyampaikan mesej perjuangan parti secara efektif.
“Imej UMNO yang segar, mesra dan progresif harus terus ditampilkan. Kesinambungan perjuangan Puteri UMNO amat penting dalam membentuk generasi pewaris negara yang berwawasan dan bertanggungjawab,” katanya lagi.
Hazratul Ilani turut menyeru seluruh ahli Puteri UMNO untuk terus kuat, bersatu dan teguh dalam perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
Beliau menekankan pentingnya menyemarakkan semangat “Muda, Aktif dan Progresif” agar Puteri UMNO kekal relevan dalam arus politik tanah air.
“Kita Gerak Bersama!” katanya mengakhiri kenyataan tersebut. – UMNO Online