UMNO Perlu Bersedia, Sesuaikan Dengan Dinamika Politik Masa Kini – Mohamed Khaled
PASIR GUDANG, 4 Ogos – UMNO perlu bersedia dan menyesuaikan parti mengikut kedinamikan politik yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, UMNO perlu menetapkan agenda agar parti mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan seterusnya menjadi pilihan rakyat.
“Kita menyambut baik (ucapan perasmian). Memang ada benarnya ucapan yang disampaikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu. UMNO mesti memahami bahawa keadaan perjuangan hari ini tak sama seperti dahulu. Demografi berubah, harapan rakyat pun sama.
“UMNO mesti bersedia dengan perubahan-perubahan tersebut dengan mengambil inisiatif untuk menyesuaikan diri. Kita tahu bahawa hari ini ramai yang tidak berparti. UMNO mesti mempunyai keupayaan untuk menjalinkan hubungan dengan mereka, memberi kefahaman mengenai matlamat dan perkara yang mahu dilakukan parti.
“Seperti apa yang saya katakan, kita mesti mempunyai agenda untuk membezakan UMNO dengan parti-parti Melayu yang lain. UMNO ada kelainanan dan agendanya tersendiri. UMNO terus kekal sebagai sebuah parti yang sederhana, sentiasa pragmatik dan realistik serta mengambil kira juga soal harapan masyarakat majmuk di negara kita hari ini,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO perlu sentiasa melahirkan dan menyediakan pemimpin masa hadapan agar legasi parti dapat diteruskan.
“UMNO mesti menyediakan pemimpin masa hadapan negara. Kita nak supaya pemimpin masa hadapan semuanya datang daripada UMNO. Kalau kita tidak berusaha untuk memahami dan menarik anak muda, maka pada suatu hari UMNO boleh menjadi sebuah parti yang pupus.
“Perjuangan itu panjang, ia tidak ada noktah dan kita tak tahu apakah kesudahannya. Tetapi, ironinya kita kena terus berusaha. Kita jangan putus asa. Kita terus kekal untuk memastikan UMNO ini terus kuat, mendapat kepercayaan dan keyakinan orang Melayu.
“Insya-Allah berkat perjuangan dan kesabaran itu, UMNO akan dapat pulihkan semula kepercayaan orang Melayu,” katanya lagi.
Untuk rekod, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Perladangan dan Komiditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Halim Suleiman dan para pemimpin empat peringkat. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman