MA63 Legasi Perjuangan Yang Dimulakan UMNO/BN – Jeffery Nor
PUTATAN, 2 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed menegaskan komitmen UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah termasuk dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), cukup jelas.
Malah beliau menekankan bahawa asas perjuangan menuntut MA63 adalah antara legasi penting yang dimulakan oleh pimpinan UMNO dan BN Sabah.
“Kita akan terus tuntut MA63 dan hak untuk rakyat Sabah. Potensi pembangunan di Sabah khususnya Putatan ini sudah pun diwujudkan semasa pemerintahan BN. Parti sudah elok, tetapi pimpinan kita yang melompat,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Putatan yang dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, di sini petang tadi.
Jeffery Nor dalam nada tegas seterusnya menepis pelbagai persepsi negatif terhadap kehadiran rakan-rakan UMNO dan BN dari Semenanjung ke negeri berkenaan.
“Sebagai contoh tohmahan ‘Malaya’ sudah jajah Sabah satu persesi semata-mata…mereka tidak paham dan sekadar wujudkan persepsi… UMNO ada rakan daripada semenanjung… salahkah mereka datang menolong,” katanya.
Katanya lagi kekalahan UMNO/BN pada pilihan raya lalu berpunca daripada tindakan segelintir pemimpin yang meninggalkan parti dan bukannya kelemahan parti itu sendiri.
Jeffery turut menyebut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Putatan seperti Tanjung Aru, Tanjung Keramat dan Petagas sebagai kawasan penting yang perlu diberi perhatian.
“Parlimen Putatan adalah kawasan BN. Tuntutan kami bukan kosong, bukan khayalan. Kami ada fakta dan asas yang kukuh untuk meletakkan calon di semua DUN bawah Parlimen Putatan,” katanya.
Dalam nada tegas, beliau menyatakan harapan besar UMNO Putatan agar calon yang diketengahkan kelak adalah anak jati tempatan.
“Kami menolak sekeras-kerasnya orang luar untuk menjadi calon di sini. Rakyat Putatan mahu anak tempatan yang faham denyut nadi mereka,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Menurut beliau, sejak kekalahan yang lalu, UMNO Putatan terus bekerja kuat membina semula sokongan rakyat.
“Kami meminta bukan tanpa isi. Kami mohon kerana yakin dengan potensi kami untuk menang. Rakyat Putatan sudah mula kembali percaya kepada BN kerana DNA UMNO itu sendiri adalah untuk membantu rakyat,” jelasnya. – UMNO Online