Depani PRU16: ‘Engagement’ Dengan Anak Muda Amat Penting
PASIR GUDANG, 2 Ogos – Hubungan UMNO/Barisan Nasional (BN) bersama anak muda amat penting untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perubahan dinamika politik menuntut parti untuk menggunakan pendekatan yang lebih segar bagi memperoleh sokongan rakyat.
“Ke mana-mana kawasan yang saya pergi saya memberitahu para perwakilan bahawa kalau kita tengok dari segi politik ia berubah mengikut zaman. Pada PRU ke-16 akan datang, anak-anak muda ini akan mewakili hampir 40 peratus daripada pengundi-pengundi dari seluruh kawasan Parlimen.
“Jadi, sudah tentu saya fikir bagaimana kita buat ‘engagement’ dengan 40 peratus anak-anak muda ini… merupakan satu perkara yang sangat penting. Kebanyakan daripada mereka ini mempunyai pendidikan yang bagus.
“Ini adalah mereka yang menilai setiap daripada calon wakil rakyat dari kaca mata yang agak berbeza daripada pemimpin-pemimpin yang memerdekakan atau membangunkan negara satu ketika dahulu.
“Jadi ia bergantung kepada kawasan-kawasan tertentu macam di Kuala Lumpur agak berbeza jika kita bandingkan di Kedah. Jadi, ini memerlukan satu pemikiran yang agak berbeza untuk melihat bagaimana kita menangi semula hati pengundi-pengundi pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini, sebentar tadi.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, UMNO mengambil pendekatan untuk melaksanakan program bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendekati anak muda.
“Sekarang ini kita tengok, UMNO kini banyak berbeza dengan dulu. Banyak program kita laksanakan ‘engage’ dengan NGO… dulu kita tak buat seperti itu. Kemudian, program-program kita ini lebih menjurus kepada anak-anak muda.
“Tetapi, proses yang kita lakukan ini kena bersesuaian dengan kawasan. Sesuatu strategi itu tak semestinya ‘applicable’ dengan semua kawasan. Terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Ini adalah kawasan-kawasan yang memerlukan ‘different type of engagement’.
“Ia lebih kepada strategi yang kita guna pakai untuk sesuatu parti politik tersebut. Macam mana dinamiknya UMNO, dari segi kita mengambil kira juga kekuatan parti-parti lawan. Itu sangat penting,” katanya lagi.
Terdahulu, Johari hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Halim Suleiman dan para pemimpin empat peringkat. – UMNO Online