Shahaniza Saman Individu Atas Kenyataan Fitnah Di Media Sosial

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu ekoran kenyataan fitnah yang dilakukan di media sosial.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Pahang memaklumkan tindakan saman itu bagi mempertahankan dirinya ekoran tuduhan palsu yang dilemparkan individu terbabit.

“Saya telah memfailkan satu tindakan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Temerloh terhadap Encik Muhammad Salman Al Farisi berhubung siri kenyataan tidak benar dan berniat jahat yang telah diterbitkan beliau di media sosial, termasuk TikTok dan Facebook, pada 3 dan 29 Julai 2025.

“Kenyataan-kenyataan tersebut bukan sahaja mengandungi tuduhan palsu terhadap saya sebagai pemimpin masyarakat, malah turut mencemar imej saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Maran, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia dan pemimpin masyarakat di Pahang.

“Saya telah mengarahkan peguamcara saya, Tetuan Adnan Sharida & Associates, untuk mengambil tindakan undang-undang penuh terhadap pihak tersebut, termasuk memohon injunksi, permohonan maaf secara rasmi dan pampasan sewajarnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Shahaniza memaklumkan tuduhan mengatakan beliau ‘melakonkan projek air’, melanggar peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia, berkempen politik dalam sekolah dan menyogok pelajar dengan makanan segera adalah tidak berasas.

Sebaliknya kata beliau ia berunsur fitnah, berniat menjatuhkan maruah serta kredibiliti secara terbuka.

“Saya ingin tegaskan bahawa lawatan saya ke tapak projek adalah sebahagian daripada peranan menyampaikan maklumat projek rakyat oleh PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad), bukan sandiwara.

“Kehadiran saya ke sekolah adalah atas kapasiti sah sebagai Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Maran, bukan untuk tujuan politik.

“Tiada sebarang unsur sogokan atau kempen politik dilakukan dalam program tersebut,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79