Kajian Separuh Penggal Nilai Prespektif Rakyat Terhadap Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyifatkan langkah UMNO yang akan melaksanakan kajian separuh penggal sebagai penting bagi menilai prestasi Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan urus tadbir negara.
Beliau berkata ini kerana ia sebagai platform untuk mendapatkan respon daripada akar umbi membabitkan agenda yang dibawa kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bukan setakat melihat Penunjuk Prestasi Utama (KPI) tapi melihat juga tentang penerimaan rakyat, penerimaan komponen-komponen yang lain.
“Tidak hanya ke arah satu hala, tetapi melihat di semua sudut hubungan kita dengan kerajaan ini sama ada diterima oleh rakyat ataupun tidak diterima oleh rakyat.
“Jadi kerja nilai kena ada data, kena ada kaji selidik kalau hendak buat secara betul tetapi kalau positif bagus namun jika negatif kita juga kena ambil tindakan kerana prestasi kerajaan ini mengikut isu,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Sementara itu Dr Azhar menyifatkan pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet memperlihatkan peranan dan sumbangan dalam menggubal dasar dan inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau ia sekaligus memperlihatkan UMNO masih relevan dan berfungsi sebagai penyumbang utama dalam pentadbiran negara hari ini.
“Saya melihat rekod dalam masa dua tahun ini Menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bagi saya sangat cemerlang membantu rakyat.
“Mereka memainkan peranan merancakkan pertumbuhan, kedinamikan perjalanan tadbir urus kerajaan kerana mereka ini ada pengalaman,” ujar beliau.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Penilaian ini turut merangkumi sumbangan kepimpinan UMNO dalam pentadbiran kerajaan serta agensi-agensi yang dimiliki dan berkaitan. – UMNO Online