Isyarat Politik UMNO Beri Tumpuan Terhadap Pencapaian, Utamakan Prestasi – Mohd Hilmi
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias menyifatkan kajian separuh penggal yang akan dilaksana UMNO bagi menilai keberkesanan serta prestasi Kerajaan Perpaduan sebagai langkah proaktif.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata ia sebagai isyarat politik kepada rakan kerjasama bahawa UMNO memberi tumpuan terhadap pencapaian.
“Tindakan ini secara tidak langsung menyampaikan mesej kepada komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan bahawa UMNO mengutamakan prestasi, bukan sekadar kedudukan.
“Ia juga mengimbangi persepsi awam terhadap keberkesanan gabungan politik yang bersifat pelbagai ideologi,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Mohd Hilmi berkata langkah ini juga penting bagi melihat sumbangan serta pencapaian kepimpinan UMNO dalam struktur pentadbiran kerajaan dan agensi-agensi berkaitan.
“Ini memberi beberapa implikasi yang menarik seperti pendekatan akauntabiliti dan reflektif. UMNO ingin menunjukkan bahawa ia tidak hanya menjadi komponen pasif dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi turut bertanggungjawab dan telus terhadap prestasi wakil-wakilnya.
“Kajian separuh penggal ini juga berfungsi sebagai “penilaian kendiri” untuk memperkukuh kedudukan menjelang PRU akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, kata beliau ia juga sebagai platform penilaian realistik ke atas prestasi kerajaan hari ini.
Katanya melalui kajian ini ia boleh membuka ruang kepada pemetaan semula strategi, pelarasan dasar atau pengukuhan pelaksanaan polisi kerajaan.
“Ia juga membantu mengenal pasti sektor yang perlu ditambahbaik, terutamanya jika pencapaian pentadbiran tidak selari dengan aspirasi rakyat,” ujar beliau.
Terdahulu mesyuarat MKT sebelum ini memaklumkan akan melaksana kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Kajian prestasi tersebut termasuk pencapaian kepimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan. – UMNO Online