Puteri UMNO Jadi Tunjang Pelapis, Dr Masliha Seru Terus Progresif

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Exco Wanita UMNO, Dr Masliha Harun menyeru agar Pergerakan Puteri UMNO terus kekal menjadi benteng serta pendukung parti yang berprinsip, profesional dan progresif seiring dengan cabaran semasa politik tanah air.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, Dr Masliha yang juga bekas Exco Puteri UMNO berkata, penglibatannya dalam pergerakan tersebut bermula sejak usia 18 tahun dan berterusan selama lebih dua dekad.

“Puteri UMNO adalah satu platform yang saya terlibat secara serius sedari umur saya 18 tahun dan hampir selama 21 tahun saya telah bersama Puteri UMNO.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh ahli Puteri UMNO sempena sambutan ulang tahun ke-24 penubuhannya.

“Teruskanlah menjadi benteng dan pendokong UMNO yang berprinsip, profesional dan progresif. Saya ucapkan Selamat ulang tahun ke-24 Puteri UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Masliha yang juga Pengerusi Sekteriat Wanita Professional (SWP) menegaskan bahawa Puteri UMNO adalah tunjang pelapis kepada kepimpinan wanita dalam UMNO dan perlu sentiasa tampil berani, dinamik dan relevan.

“Di sinilah lahirnya pemimpin wanita muda yang berani bersuara, berani bertindak dan setia pada perjuangan. Ke depan, kita perlu lebih celik digital serta mampu menjadi jambatan antara generasi muda dan parti.

“Selama lebih dua dekad, Puteri UMNO telah menjadi suara penting wanita muda dalam parti, menyumbang tenaga, idea dan semangat juang dalam mendekati rakyat, memperkukuh parti dan memperjuangkan masa depan negara,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 9 April 2001, Puteri UMNO dengan rasminya diperkenalkan sebagai barisan yang mampu bertindak secara profesional dalam parti di kalangan wanita muda.

Sayap bongsu pergerakan parti itu dilancarkan pada 3 Ogos 2001 oleh Presiden UMNO pada, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ketua Puteri UMNO yang pertama ialah Datuk Seri Azalina Othman Said. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79