Titah Tunku Mahkota Johor Wajar Disokong Demi Kemajuan Dan Kesejahteraan Rakyat – ADUN Parit Yaani
BATU PAHAT, 29 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri menyatakan sokongan penuh terhadap titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berhubung cadangan pemulangan semula 25 peratus hasil cukai pendapatan yang disumbangkan oleh Johor kepada Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, titah berkenaan bukan sahaja menjadi harapan besar baginda dan kerajaan negeri, malah turut mencerminkan aspirasi rakyat Johor secara keseluruhan.
“Johor mencatatkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia bagi suku pertama 2025, iaitu sebanyak RM30.1 bilion, menjadikan negeri ini destinasi pelaburan utama negara. Justeru, keperluan memperkukuh infrastruktur dan fasiliti adalah kritikal untuk memastikan pelaburan ini terus mampan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Beliau seterusnya menambah bahawa pelaburan dalam infrastruktur menjadi semakin penting menjelang Tahun Melawat Johor 2026, yang dijangka meningkatkan jumlah pelawat dan aktiviti ekonomi secara signifikan.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan keperluan dana tambahan bagi menangani cabaran banjir di Johor, khususnya di kawasan DUN Parit Yaani dan daerah Batu Pahat, yang sering terjejas setiap kali musim tengkujuh tiba.
“Setiap kali banjir, ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Justeru, projek tebatan banjir, baik di kawasan parit mahupun sungai, serta kerja-kerja pemulihan infrastruktur yang rosak amat memerlukan komitmen kewangan yang besar,” jelasnya.
Menurut beliau, Johor juga memerlukan sokongan kewangan untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan dan perlindungan sosial, selain menambah baik kemudahan asas seperti jalan raya dalam usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Titah Tunku Mahkota Johor amat realistik dan bertepatan dengan keperluan semasa negeri dan rakyat. Hasrat baginda wajar segera dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan kerana jika dapat direalisasikan, ianya mampu memberi limpahan serta manfaat besar kepada Johor untuk terus menjadi penyumbang utama ekonomi negara. Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online