PRN: UMNO Melaka Sudah Bersedia, Tekad Bawa ‘Gelombang Biru’

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – UMNO Negeri Melaka sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bertekad membawa gelombang biru ke negeri tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, pelbagai agenda telah dibincangkan termasuk PRN Melaka pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, semalam.

“Malam tadi saya menghadiri mesyuarat MKT UMNO Malaysia yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Bilik Mesyuarat Tingkat 39, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

“Hadir sama, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO; Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung UMNO.

“Semestinya antara agenda yang menjadi perhatian ialah persiapan UMNO menghadapi PRN Melaka, termasuk perkembangan politik semasa dan momentum denyut nadi rakyat di lapangan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, kemenangan pada PRN Melaka mesti membawa manfaat kepada rakyat.

“Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, saya membawa bersama suara akar umbi Melaka termasuklah reaksi, teguran dan aspirasi ahli serta rakyat Melaka.

“Bagi saya, politik bukan sekadar soal menang pilihan raya. Kemenangan mesti membawa manfaat kepada rakyat termasuk peluang ekonomi, menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan kesan pembangunan yang boleh dinikmati,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru para jentera parti untuk memperkemas gerak kerja demi memastikan gelombang biru sampai ke Negeri Melaka.

“UMNO mesti terus menjadi parti yang dekat dengan rakyat, kuat di akar umbi dan teguh membawa suara Melayu serta kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Kita belajar daripada pengalaman, kita perkemas gerak kerja, kita satukan saf kepimpinan dan akar umbi untuk memastikan ‘gelombang biru’ pada PRN Johor dan Negeri Sembilan akan turut melanda di negeri Melaka.

“UMNO Melaka sudah bersedia!” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO