Solidariti Dalaman Penting Bagi Kekuatan Parti – Mustaffar Kamal

INDERA MAHKOTA, 30 Julai – Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid menegaskan betapa pentingnya semua ahli parti termasuk jawatankuasa, sayap-sayap dan akar umbi untuk terus berpadu dan bekerjasama demi memperkukuh perjuangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Berucap sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Indera Mahkota yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini, beliau menjelaskan perpaduan dalam kalangan ahli merupakan kekuatan utama UMNO dan sebarang perpecahan hanya akan membuka ruang kepada pihak lawan merosakkan kepercayaan ahli di akar umbi.

“Saya mahukan semua ahli jawatankuasa, sayap-sayap dan juga ahli parti dapat bekerjasama dan berpadu. Inilah senjata utama UMNO bagi meneruskan perjuangan. Apabila tidak bersatu dan berpecah ia akan merugikan ahli parti dan musuh akan senang memasuki dan menghasut akar umbi.

“UMNO Indera Mahkota telah melaksanakan retreat kepada semua ketua-ketua cawangan serta sayap-sayap cawangan parti. Semangat solidariti yang baik ini akan terus kekal pada semua bagi menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Jentera parti terus menyantuni pengundi-pengundi dan bekerjasama. Akar umbi yang menjadi kekuatan pada UMNO, menjadi benteng terakhir untuk parti dan juga memberi kekuatan pada pemimpin.

“Semangat ahli parti semakin meningkat, pelbagai aktiviti dilakukan oleh UMNO Bahagian Indera Mahkota agar solidariti sesama ahli semakin kukuh. Ini merupakan asas penting bagi memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat,” katanya.

Turut serta pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Indera Mahkota, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Timbalan Ketua UMNO, Faiz Hashim serta pimpinan empat peringkat.

Mengulas lanjut Mustaffar Kamal menyatakan keyakinan bahawa semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan ahli parti akan menjadi pemangkin utama kepada kejayaan UMNO di kawasan itu pada pilihan raya akan datang.

“Saya yakin dan percaya dengan semangat serta kerjasama, berpadu dan setiakawan ini akan berterusan sehingga ke pilihan raya akan datang dan insya-Allah… sekurang-kurangnya dapat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita tidak hanya menunggu musim pilihan raya baru hendak bergerak. Kita sudah mula turun ke bawah, mendengar denyut nadi rakyat dan mengenalpasti isu-isu tempatan yang perlu diberikan perhatian.

“Dengan gelombang kebangkitan semangat yang semakin ketara di peringkat akar umbi, UMNO mampu mencipta kejutan di Indera Mahkota sekali lagi jika seluruh tenaga digembleng secara kolektif dan tersusun,” katanya lagi.

Mengakhiri ucapannya beliau menegaskan bahawa UMNO Indera Mahkota telah mengusulkan hasrat untuk bertanding di Parlimen Indera Mahkota serta dua kerusi DUN iaitu Beserah dan Semambu.

Namun demikian, katanya sekiranya kerusi Parlimen tidak diberikan, mereka menyatakan kesediaan untuk bertanding di dua kerusi DUN tersebut sahaja.

“Insya Allah… UMNO Indera Mahkota dapat merampas kembali kerusi-kerusi yang kalah pada DUN tersebut.

“Saya harap UMNO dan BN dapat memenangi semula hati dan budi pengundi-pengundi. Apabila kita berjaya menyantuni mereka dengan ikhlas, barulah kita dapat menguasai semula kerusi-kerusi yang ditandingi oleh UMNO Indera Mahkota,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79