MBMB Laksana Pelan Naik Taraf Pasar, Komitmen Melaka Ke Arah Bandar Mampan – Rais Yasin
MELAKA, 22 Julai — Kerajaan Negeri Melaka menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) komited untuk memastikan kemudahan awam terus dipertingkat selari dengan matlamat menjadikan Melaka sebuah bandar yang mampan, moden dan inklusif.
Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim, Teknologi Hijau dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin, antara inisiatif terkini ialah usaha menaiktaraf Pasar Wilayah Kota Laksamana Fasa 2 dan Pasar Batang Tiga di Klebang yang kini dalam perancangan dan pelaksanaan secara berfasa.
Ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, pasar-pasar ini merupakan komponen penting dalam ekosistem ekonomi komuniti bandar dan memerlukan perhatian serius memandangkan keadaan fizikal semasa yang tidak lagi kondusif.
“Pasar Wilayah Kota Laksamana Fasa 2 kini berdepan dengan isu kebocoran bumbung, sistem saliran tersumbat serta kerosakan sistem elektrik dan paip. Justeru, MBMB telah menyusun pelan naik taraf secara menyeluruh termasuk baik pulih struktur, sistem sanitasi, utiliti, serta reka bentuk ruang yang lebih mesra pengguna dan mesra OKU,” jelas beliau ketika menjawab soalan dalam Sidang DUN Melaka, semalam.
Jelasnya, sebanyak 45 lot niaga wujud di pasar ini namun hanya 25 yang masih aktif digunakan yang menunjukkan keperluan mendesak untuk penstrukturan semula bagi menarik semula peniaga dan pembeli ke kawasan tersebut.
“Dalam jangka masa panjang, MBMB merancang untuk mengubah pasar ini menjadi pasar komuniti moden berasaskan teknologi hijau, termasuk pemasangan panel solar, sistem pengurusan sisa pintar dan penggunaan bahan binaan lestari. Projek ini diselaraskan dengan Rancangan Tempatan MBMB 2035 serta Pelan Bandar Rendah Karbon.
“Fasa pertama penyelenggaraan telah pun disiapkan dengan peruntukan RM500,000. Sementara itu, Fasa kedua dianggarkan menelan kos RM450,000 yang kini dalam proses penilaian teknikal. Tempoh pelaksanaan dijangka antara 12 hingga 18 bulan, tertakluk kepada kelulusan dan proses perolehan.
“Dalam usaha memastikan kebajikan penjaja tidak terjejas, MBMB turut menyediakan lokasi alternatif, latihan keusahawanan, insentif lesen perniagaan serta promosi digital. Ini termasuk kolaborasi dengan agensi-agensi seperti TEKUN, Farm Fresh dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri.”
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan semula Pasar Batang Tiga di Klebang yang turut mengalami keadaan fizikal yang tidak lagi sesuai.
“MBMB telah menjalankan audit infrastruktur dan mendapati keperluan pembaharuan menyeluruh adalah kritikal bagi menjamin keselamatan dan kelestarian ekonomi komuniti.
“Pelan pembangunan pasar ini meliputi reka bentuk pintar dan mesra komuniti, susun atur mengikut kategori niaga, serta kemudahan lengkap seperti tempat letak kereta, tandas awam, laluan pejalan kaki dan akses OKU.”
Menariknya, katanya, Pasar Batang Tiga dirancang sebagai Community Inclusive Market iaitu bukan sahaja sebagai lokasi jual beli, tetapi juga pusat sosial dan pelancongan komuniti tempatan dan dijangka menonjolkan produk tempatan termasuk hasil tani dan kulinari sebagai tarikan baharu pelancongan di kawasan Klebang.
Rais turut menegaskan bahawa semua inisiatif ini menggambarkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkasa infrastruktur awam serta membela penjaja kecil, seiring dengan matlamat pembangunan mampan dan bandar pintar.
“Projek-projek naik taraf ini bukan sahaja meningkatkan kebajikan rakyat, malah memperkukuh imej Melaka sebagai negeri pelancongan yang bersih, teratur dan mesra komuniti,” katanya lagi. – UMNO Online