Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Usul Jabatan Wilayah Diletak Di Bawah TPM 1

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan telah meluluskan usul penting yang mencadangkan agar Jabatan Wilayah Persekutuan diletakkan secara rasmi di bawah seliaan Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketuanya, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi berkata, langkah ini merupakan tindakan strategik bagi mengembalikan semula struktur tadbir urus yang lebih teratur dan berfokus kepada Wilayah Persekutuan, khususnya selepas pembubaran Kementerian Wilayah Persekutuan pada tahun 2022.

“Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah nadi pentadbiran, ekonomi dan wajah Malaysia di mata dunia. Namun sejak pembubaran kementerian, kita lihat wujudnya kekaburan dari segi hala tuju, penyelarasan dasar dan pelaksanaan projek-projek penting,” ujarnya dalam kenyataan mengenai hal terbabit.

Menurut beliau, ketiadaan satu struktur khusus di peringkat Persekutuan telah mewujudkan jurang dalam penyampaian dasar dan kebajikan rakyat di wilayah ini, terutama kepada golongan Melayu bandar, B40 serta anak muda yang terdedah kepada pelbagai risiko sosial dan ekonomi.

Katanya, antara agensi utama seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Labuan Corporation dan Yayasan Wilayah kini bergerak secara berasingan tanpa arahan dasar yang seragam, sekali gus menjejaskan keberkesanan pentadbiran.

“Dengan menempatkan Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah tanggungjawab TPM 1, kita boleh menjamin koordinasi lebih mantap antara agensi, dan pada masa sama mengangkat suara rakyat Wilayah ke peringkat tertinggi pembuat dasar.”

Tambah beliau, pendekatan ini juga selari dengan semangat Persekutuan yang mengangkat Sabah dan Sarawak melalui peranan khas Timbalan Perdana Menteri Kedua. Justeru, Wilayah Persekutuan juga wajar diberi perhatian sewajarnya dalam pentadbiran negara.

“Ini bukan sekadar cadangan teknikal pentadbiran, tetapi satu keperluan strategik untuk masa depan negara. Kita mahu pembangunan bandar yang lebih inklusif, kebajikan yang terjaga, dan keyakinan rakyat bandar terhadap kerajaan dapat dikembalikan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79