Sindiran, Persepsi Antara Usaha Pihak Lawan Nak Lemahkan Ahli UMNO – Saarani
TAMBUN, 21 Julai – Sindiran dan serangan daripada pihak lawan yang cuba menggugat keyakinan ahli-ahli UMNO Perak dilihat sekadar taktik yang biasa digunakan oleh mereka yang bimbang dengan kebangkitan UMNO termasuklah di negeri berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata suara-suara sinis termasuklah di media sosial dan sebagainya mengenai keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) Perak termasuklah di Tambun hanyalah tidak lebih untuk menimbulkan persepsi semata-mata.
“Beritahu kepada mereka… UMNO Tambun masih hidup… masih berdiri teguh. Kalau ada yang tanya ‘UMNO Tambun masih ada ke?’, jawab dengan lidah yang fasih UMNO Tambun bukan sahaja wujud, tetapi sedang bangkit dengan lebih kuat dari sebelumnya,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tambun, di sini, hari ini.
Turut serta Ketua UMNO Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan pimpinan yang lain.
Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak turut menempelak pihak tertentu yang sering menuduh UMNO ‘gila kuasa’ dan sebagainya, sambil menyatakan bahawa adalah menjadi hak dan tujuan sah sesebuah parti politik untuk mendapatkan kuasa bagi mentadbir dan membela rakyat.
“Kenapa perlu rasa malu bila dituduh ‘gila kuasa’? Ya, UMNO memang mahu kuasa untuk bantu rakyat, bangunkan negeri, bela orang kampung, dan bawa kemakmuran. Kalau parti politik tidak mahu kuasa, jangan bertanding pilihan raya.
“Pasal apa kita rasa rendah diri bila orang kata UMNO gila kuasa? Tanya balik mereka gila kuasa tak? Tanya dia… kalau dia kata tak gila kuasa dan tak nak maka jangan bertanding pilihan raya… biar UMNO yang bertanding,” ujarnya.
Beliau mengakhiri ucapan dengan seruan agar semua ahli UMNO terus bersatu, tidak tunduk kepada tekanan lawan dan tampil penuh keyakinan dalam setiap ruang demokrasi yang ada.
“UMNO telah melalui jatuh bangun. Tapi kita tak pernah pupus. Kita tak akan hilang arah. Selagi ada akar, selagi ada rakyat, selagi ada semangat kita akan terus bangkit,” tambahnya.
Menteri Besar Perak turut menegaskan bahawa UMNO dan BN bukan ditubuhkan sekadar untuk menghadapi pilihan raya, tetapi sebagai satu perjuangan jangka panjang demi membina sebuah negara dan negeri yang aman, berdaya saing, dan stabil untuk generasi akan datang. – UMNO Online