SUA Seru Hentikan Budaya Politik Sate, Kembali Kepada Asas Perjuangan UMNO
BUKIT GANTANG, 20 Julai – Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menasihati semua pihak dalam parti agar menghentikan budaya politik sate supaya UMNO kembali kuat dan menang dalam pilihan raya.
Ujarnya, politik sate adalah analogi yang tepat kepada sikap mengadu domba dan batu api kerana adanya tukang cucuk, kipas, bakar dan balik-membalik.
“Saya tekankan kepada perwakilan bahawa untuk UMNO kembali kuat dan menang dalam pilihan raya, asas utama adalah kesatuan sama seperti cogan kata UMNO, ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’.
“Tetapi budaya yang ada dalam UMNO kadangkala yang boleh menyebabkan kita lemah adalah budaya ‘politik sate’. Budaya mengapi-apikan, mahu wujudkan kabilah-kabilah dalam parti… nak wujudkan persengketaan dalam kalangan pemimpin-pemimpin dan di kalangan anak-anak buah,“ kata Dr Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Dr Asyraf berkata demikian kepada media, selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan barisan kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan bahagian.
Seterusnya ulas Dr Asyraf, paling penting semua ahli perlu kembali ke landasan asas perjuangan.
“…yang paling penting kembali ke landasan asas perjuangan kita. UMNO ditubuhkan untuk menjaga dan memelihara kepentingan agama, bangsa serta tanah air kita.
“Jadi atas asas itulah, perkara-perkara yang boleh mengganggu dan menghilangkan fokus utama kita termasuk budaya politik sate ini mesti kita hentikan serta-merta,” tegasnya lagi.
Manakala dalam perkembangan yang berlainan, Dr Asyraf berkata MARA akan menjalankan projek perintis dengan melantik bekas pegawai tentera dan polis sebagai warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Katanya, dua MRSM yang terlibat iaitu MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau serta akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan bagi melihat keberkesanannya untuk dipraktikkan di MRSM seluruh negara.
”Kita telah pun mengadakan sesi temuduga dan senarai pendek. Insya-Allah bermula Ogos ini mereka akan diberikan prosedur operasi standard (SOP) dan latihan kerana peranan warden ini penting.
”Kita tidak mahu ada salah faham seolah-olah apabila kita ambil bekas polis dan tentera maknanya kita akan guna bentuk kekerasan dalam kita mendisiplinkan anak-anak pelajar di MRSM. Tidak,“ katanya.
Tambahnya lagi, individu yang dilantik akan berperanan sebagai warden sepenuh masa, tidak seperti sekarang menggunakan khidmat guru di institusi tersebut kerana ia sedikit sebanyak mengganggu tugas hakiki mereka.
“Inisiatif ini kita mulakan supaya SOP dan perkara-perkara asas yang kita tekankan, anak-anak mendapat pengawasan serta penelitian perkembangan mereka di asrama dengan selamat.
“Kita hendak berikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa kita tidak ada kompromi sebarang bentuk buli bukan sahaja fizikal tetapi juga mental,“ ujarnya sambil menyatakan MARA akan menempatkan tidak lebih daripada sepuluh orang warden lelaki dan wanita di kedua-dua MRSM tersebut. – UMNO ONLINE