UMNO Tidak Pernah Lelah, Perjuangan Parti Terus Terpahat – Shahanim

SUNGAI PETANI, 20 Julai – Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, menyeru seluruh ahli UMNO agar terus berpegang pada semangat perjuangan parti yang tidak pernah mengenal lelah dalam membela rakyat, sambil menegaskan pentingnya penyatuan serta pembangunan pemimpin pelapis demi kelangsungan parti.

Dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim mengingatkan bahawa UMNO yang kini sudah mencecah usia 79 tahun, tidak boleh sekadar bergantung kepada warisan sejarah, tetapi mesti menyusun strategi untuk memastikan masa depan parti terus terpelihara.

“Perjuangan UMNO ini tidak pernah kenal lelah atau jemu. Namun, UMNO juga memerlukan produk pemimpin pelapis. Pendekatan seperti ‘Keluargaku Ahli UMNO’ atau lain-lain kaedah adalah antara langkah yang boleh diketengahkan untuk mengukuhkan akar umbi dan menjamin kesinambungan perjuangan parti,” jelas beliau.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin.

Dalam ucapannya, Datuk Shahanim turut menekankan keperluan untuk memperkasakan sayap-sayap parti dengan ilmu dan kecekapan, supaya mereka bukan sahaja bersemangat, tetapi mampu menjadi agen penyelesaian kepada masalah rakyat.

“Saya mahu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Sungai Petani menjadi sayap yang bukan sahaja bersemangat tetapi juga berilmu. Kita perlu tahu bagaimana nak bantu rakyat…ke MARA, ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan pelbagai agensi lain. Bantulah jiran kita, masyarakat sekeliling kita,” katanya.

Beliau turut menggariskan kepentingan memanfaatkan pelbagai saluran bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan hari ini, termasuk bantuan untuk pesakit terlantar, ibu tunggal, dan keluarga berpendapatan rendah.

“Waktu bencana, waktu susah… siapa rakyat cari dulu? UMNO. Inilah bukti kepercayaan masyarakat terhadap parti kita. Kita mesti pastikan wakil rakyat yang dipilih benar-benar mampu membantu rakyat, bukan sekadar memenuhi syarat,” tambah beliau.

Mengakhiri ucapan dengan nada tegas dan penuh semangat, Datuk Shahanim mengingatkan bahawa masa depan UMNO bergantung kepada kesatuan dan komitmen ahli-ahlinya.

Biduk berlalu, kiambang bertaut. UMNO adalah jalan yang kita pilih dengan penuh kesedaran, bukan kerana paksaan. Di tangan kitalah terletaknya segala-galanya…sama ada parti ini bangkit, atau rebah. Pilihannya di tangan kita,” tegas beliau.— UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79