Pemuda UMNO Rasah Junjung Titah Adendum Diraja, Kecam Pihak Pertikai

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rasah menjunjung setinggi-tinggi titah Adendum Diraja yang diperkenan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan kuasa pengampunan Diraja, serta mengecam keras tindakan biadab segelintir pihak yang mempertikai keputusan tersebut.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, ketuanya, Ahmad Fauzan Badruddin menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara atas pengesahan Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai 2025 mengenai kewujudan Titah Adendum Diraja tersebut yang memperkukuh kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan keluhuran undang-undang negara.

“Pemuda UMNO Rasah dengan penuh takzim memohon agar pelaksanaan Titah Adendum Diraja ini dipercepatkan demi keadilan dan institusi negara yang kita junjung,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap keputusan mesyuarat Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang mendesak Perdana Menteri mengambil tindakan segera terhadap pelaksanaan titah tersebut.

“Kami mendoakan agar Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dibenarkan menjalani baki hukuman dalam bentuk tahanan rumah, seperti yang telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda.”

Tegasnya, kuasa pengampunan adalah hak eksklusif YDPA dan tidak boleh dipolitikkan.

Dalam hal berkaitan, Ahmad Fauzan memakkumkan bahawa Pemuda UMNO Rasah menuntut agar ahli Parlimen Dap terbabit memohon maaf secara terbuka kepada YDPA dan rakyat Malaysia selain tindakan disiplin diambil terhadapnya dengan siasatan segera dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap kenyataan tersebut.

“Pemuda UMNO Bahagian Rasah akan terus berdiri mempertahankan Institusi Diraja, Perlembagaan Persekutuan, dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79