Putatan Tanpa Air … Sampi Bila Berlarutan? – Jeffery Nor
PUTATAN, 18 Julai – Lebih 10,000 penduduk di sekitar Putatan kini berdepan kesulitan berikutan gangguan bekalan air yang berlarutan hampir dua minggu tanpa penyelesaian konkrit.
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed melahirkan rasa simpati terhadap nasib penduduk yang terpaksa berulang-alik mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.
“Air ini merupakan keperluan harian penduduk… Sampai bila penduduk kampung serta peniaga berhampiran mampu bertahan untuk menanggung masalah ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa kecewa kerana tiada makluman awal diberikan oleh pihak bertanggungjawab, menyebabkan ramai penduduk tidak sempat membuat persediaan menyimpan bekalan air secukupnya.
“Kita sangat kesian melihat mereka mengangkat air sehingga ke tingkat empat dan lima. Prihatinlah, keluarkan notis makluman awal agar mereka dapat membuat persediaan,” tambah beliau.
Menurut Jeffrey, beliau hampir setiap hari menerima aduan daripada penduduk kampung yang terjejas dan pihaknya kini sedang berusaha menyalurkan bantuan segera dalam bentuk air mineral sebagai penyelesaian sementara.
“Kami faham kesulitan yang dihadapi, sebab itu kami berusaha menyalurkan bantuan bekalan air mineral untuk keperluan sementara mereka,” katanya.
Jeffrey turut menggesa pihak berwajib agar segera tampil memberikan penjelasan serta pelan tindakan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi isu ini demi kesejahteraan rakyat Putatan. – UMNO Online