Wakil Sabah Adalah Rakyat, Bukan Lambang Parti – Salleh Said
KOTA KINABALU, 18 Julai – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa masa depan Sabah tidak harus digantung semata-mata pada lambang atau nama parti politik, sebaliknya bergantung kepada keikhlasan dan komitmen individu yang mewakili rakyat.
“Parti hanyalah alat. Yang penting ialah siapa pemimpin itu, apa nilai yang dia pegang, dan sejauh mana dia benar-benar berjuang untuk rakyat Sabah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga ADUN Usukan menekankan bahawa semua parti politik, baik tempatan mahupun nasional, beroperasi di bawah sistem perundangan yang sama.
“Menggunakan nama ‘Sabah’ dalam parti tidak bermaksud mereka benar-benar membawa manfaat kepada rakyat. Apa yang rakyat mahukan ialah tindakan iaitu jalan raya yang lebih baik, peluang pekerjaan untuk anak muda, kos sara hidup yang terkawal, dan pembangunan yang menyeluruh,” katanya lagi.
Mengulas isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Salleh menegaskan bahawa perjuangan untuk hak Sabah mesti diterjemahkan kepada hasil yang nyata.
“Lebih kuasa autonomi, peruntukan yang adil, dan hak negeri yang dihormati, itu yang kita perlukan. Bukan siapa yang paling lantang bercakap, tapi siapa yang benar-benar berjaya capai sesuatu,” ujarnya.
Menurut beliau, rakyat Sabah harus menilai pemimpin bukan berdasarkan parti semata-mata, tetapi berdasarkan integriti dan kesungguhan mereka dalam membela hak rakyat.
“Orang Sabah boleh memimpin dari mana-mana platform, asalkan mereka tidak lupa siapa yang mereka wakili,” tambahnya.
Salleh turut menyeru agar prinsip ‘Sabahan No. 1’ dijadikan pegangan dalam semua dasar dan keputusan.
“Ia bermaksud mendahulukan rakyat Sabah dalam setiap tindakan iaitu membela hak mereka, menyuarakan keperluan mereka, dan memberi kebanggaan kepada mereka melalui kerja sebenar, bukan sekadar slogan kosong,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar bijak memilih pemimpin berdasarkan nilai, prinsip dan rekod khidmat, kerana masa depan negeri ini terletak sepenuhnya di tangan rakyatnya sendiri. – UMNO Online