KPWKM Sentiasa Komited Laksana Program, Tingkat Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa komited untuk melaksanakan program bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelbagai program telah diadakan dengan memberi tumpuan kepada wanita muda, warga emas dan golongan rentan.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kebajikan sosial negara, KPWKM sentiasa komited untuk melaksanakan program yang meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan rentan.

“Salah satu program utama kami ialah Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, kepimpinan dan kemahiran keusahawanan wanita muda agar mereka menjadi pemimpin masa depan negara.

“Dalam masa yang sama, kementerian juga menyokong penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PaWE) di seluruh negara sebagai pusat komuniti penting untuk warga emas agar mereka terus aktif, sihat dan berdaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena majlis Anugerah Kelestarian dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia 2025 yang diadakan pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut menjadi pemacu utama dalam menyalurkan bantuan kebajikan secara menyeluruh.

“Selain itu, menerusi YKN, pelbagai program kebajikan dijalankan untuk membantu keluarga memerlukan, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak. YKN menjadi pemacu utama dalam menyalurkan bantuan kebajikan secara menyeluruh dan terancang.

“Namun, usaha ini tidak mampu berjaya tanpa sokongan sektor korporat. Maka saya menyeru syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan kebajikan dan individu budiman agar menyokong YKN melalui sumbangan kewangan, program CSR atau bentuk bantuan lain. Setiap sumbangan bukan hanya satu derma, ia adalah pelaburan sosial demi membina Malaysia yang lebih adil dan sejahtera.

“Sebagai rakan utama kerajaan, sektor swasta mempunyai kuasa untuk memacu perubahan yang signifikan dalam kebajikan sosial negara. Marilah kita menjadikan YKN sebagai platform utama dalam menyalurkan bantuan dan harapan kepada yang memerlukan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia untuk tahun 2025 tersebut merupakan platform penting untuk menyemarakkan budaya kebajikan di seluruh negara.

“Majlis ini bukan sekadar satu sambutan, malah merupakan platform penting untuk menyemarakkan budaya CSR yang mampan di seluruh negara. Saya percaya semua yang hadir malam ini adalah agen perubahan… pemimpin yang membuktikan bahawa kejayaan perniagaan boleh berjalan seiring dengan sifat ihsan.

“Jangan sesekali melihat CSR sebagai rutin semata-mata. Nilainya hanya terserlah apabila ia lahir daripada keikhlasan, kejujuran dan komitmen yang sebenar. Karnival CSR yang berlangsung hari ini membuktikan bahawa ramai NGO dan kumpulan masyarakat sedang aktif membantu golongan memerlukan.

“Marilah kita membina kerjasama yang kukuh antara sektor korporat dan masyarakat sivil untuk Malaysia yang lebih inklusif dan lestari. Bersama-sama kita mampu membentuk masa depan sosial dan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79