Titah Adendum: Hasrat Ketua-Ketua UMNO Bahagian Akan Dibawa Ke Perdana Menteri – Ahmad Zahid

TAMPIN, 19 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa perjumpaan antara Ketua-ketua UMNO Bahagian adalah satu inisiatif yang lahir daripada semangat akar umbi parti di seluruh negara.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan menyampaikan hasrat yang disuarakan oleh para Ketua UMNO Bahagian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan secara berhemah.

“Saya akan menyampaikan hasrat Ketua-ketua UMNO Bahagian kepada Perdana Menteri. Mudah-mudahan beliau akan dapat menggunakan budi bicara dan kuasa agar hasrat tersebut dapat dipenuhi melalui tatakelola, tatacara perundangan sedia ada serta disegerakan.

“Hasrat yang dilontarkan oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Shafei Abdullah mewakili kawan-kawan Ketua UMNO Bahagian adalah datang dari suara akar umbi, dan ia bukan dengan niat untuk mencampuri kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Agong (YDPA) atau menganggu tugas-tugas Perdana Menteri.

“Hasrat ini adalah daripada akar umbi UMNO dan ia menjadi manifestasi keprihatinan mereka terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pertemuan bersama Perdana Menteri itu akan diadakan dalam masa yang terdekat.

“Saya akan bertemu dengan Perdana Menteri secepat mungkin… dalam sehari, dua ini, Insya-Allah,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 145 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara termasuk dari Sabah, mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan Titah Adendum bagi membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Ini kerana, tindakan pihak-pihak tertentu menyorokkan Titah Adendum tersebut melanggar prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran undang-undang negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79