Kes Kebejatan Sosial Memalukan Imej ‘Serambi Mekah’, Wakil Rakyat Jangan Lepas Tangan
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Semua pihak amat diperlukan tidak mengira latar belakang politik, budaya dan pekerjaan menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi masalah kebejatan sosial yang berlaku di negeri Kelantan seperti isu penyalahgunaan dadah, parti hubungan sejenis dan terlarang.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohamed Noor menegaskan semua pihak mesti bersatu hati menyokong tindakan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam jihadnya memerangi aktiviti tidak bermoral.
“Semua kebejatan yang berlaku di dalam negeri ini berpunca daripada najis dadah yang mengkhayalkan hampir ramai anak bangsa. Perbuatan khayal dadah ini boleh menyebabkan kes parti gay seks sangat memalukan negeri Kelantan yang diberi jolokan Serambi Mekah.
“Kerajaan Negeri perlu lebih cakna dan bergerak seiring dengan pihak PDRM dalam menghapuskan ketagihan dadah dan aktiviti tidak bermoral.
“Wakil rakyat tidak boleh duduk sahaja, goyang kaki dan perut tidak mempedulikan perkara ini. Ini tanggungjawab wakil rakyat yang berkuasa untuk melakukan aktiviti kesedaran kepada masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah Noor Hariri, sikap wakil rakyat Kelantan yang cuba menafikan kelemahan pentadbiran negeri dengan membandingkan masalah dadah di negeri lain adalah tidak bertanggungjawab.
“Wakil rakyat tidak boleh lepas tangan apabila dengan sekadar menjawab mulut negeri lain pun lagi banyak kes dadahnya. Sikap tidak boleh ditegur dan ego ini tidak langsung membantu pihak berkuasa.
“Letak apa sahaja slogan berbunyi Islamik pun kalau kerajaan negeri masih ada mentaliti jumud ‘orang semua salah, aku sahaja betul’.
“Ini bermakna negeri Kelantan akan kekal di takuk lama dengan berlaku ketidak seimbangan pembangunan fizikal dan spiritual rakyatnya,” tegasnya. – UMNO Online