Melaka Bakal Perkenal Smart AI Tourism, Perkukuh Ekosistem Pelancongan Digital
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Kerajaan Melaka bakal memperkenalkan inisiatif pelancongan pintar baharu dikenali sebagai “Smart AI Tourism Melaka” menjelang September ini, dalam usaha memperkukuh ekosistem pelancongan digital di negeri berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) itu akan memudahkan pelancong mendapatkan maklumat arah dan lokasi tumpuan pelancongan dengan lebih cepat serta meningkatkan pengalaman lawatan secara menyeluruh.
“Inisiatif ini berperanan sebagai jurubahasa dan pemandu arah dalam pelbagai bahasa untuk memperkenalkan lokasi tarikan serta bersejarah, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Melaka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Sinergi Telekomunikasi Negeri Melaka 2025 di sini, malam tadi.
Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama strategik antara Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH) dengan tiga syarikat telekomunikasi utama negara iaitu Rohas-Euco Industries Berhad, Maxis Broadband Sdn. Bhd. dan U Mobile Sdn. Bhd.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata berbanding paparan maklumat statik seperti papan info, Smart AI Tourism Melaka akan membolehkan interaksi dua hala melalui penggunaan teknologi seperti kod QR yang menterjemah kandungan ke pelbagai bahasa, serta memberi akses kepada maklumat lanjut menerusi laman rasmi pelancongan negeri.
Sementara itu, beliau memaklumkan Melaka kini mencatatkan liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk (CoPA) sebanyak 99.97 peratus, manakala liputan 5G mencapai 89.7 peratus, dengan purata kelajuan jalur lebar mudah alih mencecah 121 Mbps, melepasi sasaran nasional 100 Mbps.
“Kerajaan negeri menyasarkan capaian 100 peratus liputan 4G dan 5G di semua kawasan berpenduduk menjelang 2027,” katanya. – BERNAMA