Kesatuan, Kerja Berpasukan Jadi Asas Penting Parti – Zulkifli
TUMPAT, 19 Julai – Kesatuan dan kerjasama secara berpasukan menjadi asas penting kepada kemenangan sesebuah parti dalam menghadapi pilihan raya, kata Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah.
Ujarnya, dengan kesatuan yang terbina di antara pemimpin dan ahli ini membolehkan segala gerak kerja parti terutamanya untuk mendekati rakyat dapat berjalan lancar.
“Alhamdulilah, program berjalan lancar. Daripada ucapan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semestinya nak lihat UMNO Bahagian Tumpat ini bersatu padu dengan satu matlamat iaitu untuk menang pilihan raya.
“Maka dengan kesatuan inilah kita boleh menyusun program gerak kerja dan Insya-Allah para jentera pilihan raya juga akan bersama-sama. Itulah perkara asas yang paling penting dalam parti politik iaitu bekerjasama secara satu pasukan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat, baru-baru ini.
Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan para pemimpin bahagian empat peringkat.
Jelasnya, meskipun Tumpat merupakan ‘kawasan hitam’ pilihan raya, beliau tetap optimis bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Tumpat ini dalam kategori ‘kawasan hitam’. Ini kebiasaannya dinilai setiap kali pilihan raya. Kalau sesebuah kawasan itu kalah pada pilihan raya dengan majoriti yang besar, itu dikira kawasan hitam.
“Tetapi, dalam politik, tidak ada yang mustahil. Ini kerana isu semasa dan nasional sentiasa berubah. Jadi, dengan momentum politik hari ini… dengan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti Nenggiri, Ayer Kuning dan Mahkota membuktikan bahawa kita bukan setakat mengurangkan majoriti.
“…yang dulu PRU ke-15 kita kalah. Tetapi apabila PRK, kita menang dengan berganda majoritinya. Dalam politik ini 1,001 kemungkinan akan berlaku maka paling penting, kita sebagai pemimpin terutamanya di peringkat bahagian perlu siap siaga untuk menghadapi pilihan raya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa ukhuwah mantap yang terbina di kalangan pemimpin dan akar umbi dapat melahirkan kekuatan untuk meneruskan perjuangan parti.
”Alhamdulilah, kami ditadbir oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang baik, cakna dan selalu bekerja. Asas besar beliau ialah muafakat antara pemimpin peringkat atasan termasuk ketua-ketua bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di Kelantan untuk melahirkan satu ukhuwah yang mantap.
“Bermakna, beliau mendidik kita bahawa ukhuwah di peringkat negeri supaya dapat dibawa balik ke peringkat bahagian. Ini dilakukan supaya ukhuwah di peringkat bahagian, cawangan dan ahli-ahli parti dapat kita eratkan. Dalam hubungan itulah kita boleh melahirkan satu kekuatan untuk meneruskan perjuangan UMNO/BN,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman