PRU16: Kita Tiada Pilihan, UMNO/BN Perlu Menang – Din Adam
DUNGUN, 16 Julai – Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam menyeru seluruh ahli dan jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk bekerja sehabis baik supaya menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Ujarnya, sokongan rakyat terhadap UMNO/BN perlu diterjemahkan dengan baik memandangkan parti ini mempunyai pengalaman dalam mentadbir dan mengurus negeri serta negara lebih 60 tahun.
“Kita tiada pilihan. Pilihan kita adalah untuk menang. Menang perjuangan, menang pilihan raya. Daripada dapatan kajian kita dapati bahawa ramai mengakui BN ada pengalaman mentadbir, mengurus negeri dan juga negara. 53 peratus berpendapat sedemikian.
“Manakala yang berjuang untuk hak Melayu kini sudah diambil oleh orang lain. Pas ‘claim’ mereka memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam di bawah Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Dungun pada Sabtu lalu.
Turut hadir merasmikan majlis tersebut ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat dan seluruh kepimpinan empat peringkat.
Tegasnya, seluruh jentera perlu memainkan peranan sebaiknya dan memberikan penerangan kepada rakyat bahawa UMNO masih lagi menjadi parti yang membela agama, bangsa serta tanah air.
“Kita kena bercakap bagaimana UMNO ini sentiasa memperjuangkan orang Melayu sebab kita adalah parti yang membela agama, bangsa dan tanah air. Itu senario daripada bancian yang kita telah buat.
“Namun untuk kelemahan pentadbiran kerajaan Negeri Terengganu, orang bercakap tentang masalah kos salah hidup rakyat. Di Terengganu ini ada eksklusiviti politik sebab 95 peratus daripada rakyat di sini terdiri daripada orang-orang Melayu. Undi bangsa lain hanya ada 7,000 sahaja.
“Kita ada kekuatan dan trek rekod. Kita tidak ada pilihan. Pilihan kita adalah untuk menang. Kita kena tengok pengundi yang tinggal di bandar dan juga memberi fokus kepada pegawai-pegawai kerajaan selain anak-anak muda. Apa pun, kita mesti menang,” katanya lagi. – UMNO Online