UMNO Bangkit Semula, Kembali Dominan PRU Akan Datang – Noraini Ahmad

TAIPING, 14 Julai – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyeru seluruh ahli parti agar melipatgandakan semangat dan gerak kerja bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menjadi kuasa dominan dalam pilihan raya akan datang.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga Masyarakat berkata, meskipun parti telah beberapa kali melalui kejatuhan, UMNO tetap mampu bangkit dan harus terus mara demi memastikan kelangsungan perjuangan yang telah sekian lama dibina.

“Yang penting, berapa kali parti ini jatuh tapi tetap akan bangkit dan terus bangkit. Apa yang kita mahu, UMNO dan BN menjadi dominan semula dalam pilihan raya akan datang, insya-Allah.

“Kita perlu akui akan kelemahan parti. Bukan orang tidak suka warna merah UMNO dan biru BN, tetapi mereka ketika itu mengikut arus tsunami politik yang berlaku.

“Anak-anak muda apabila pulang ke kawasan masing-masing akan terikut dan mencuba menukar kerajaan. Akhirnya mereka ternganga dan menyesal menukar kerajaan BN,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Taiping, di sini semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie, serta kepimpinan empat peringkat.

Sehubungan itu, beliau menggesa Pemuda dan Puteri UMNO agar memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu jentera parti untuk mengembalikan sokongan generasi muda.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong menegaskan bahawa UMNO harus menolak sebarang unsur perpecahan dalaman dan menumpukan perhatian terhadap musuh sebenar di luar parti.

“Musuh UMNO bukan sesama ahli. Takkanlah ahli yang taat setia dan sentiasa memperjuangkan kepentingan parti sanggup melihat parti ini terus merundum dan akhirnya lupa sejarah kita,” katanya lagi.

Beliau menyeru agar seluruh ahli kembali memperkukuh ikatan sesama akar umbi, membina saf yang rapat, dan memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap parti.

“Saya percaya sekiranya dapat merapatkan saf dan kembalikan keyakinan rakyat untuk menyokong UMNO dan BN, kita akan kembali gagah.

“Teruskan gerak kerja, tunaikan amanah dan pastikan parti ini menang dalam setiap pilihan raya,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79