UMNO Bentong Teguh Perjuangan, Junjung Budaya Politik Berakhlak

BENTONG, 2 Julai – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohd Zaini Salleh menyambut baik saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan keperluan menjadikan budaya politik berteraskan akhlak dan nilai hormat-menghormati sebagai asas penting dalam perjuangan parti.

Menurut beliau, pendekatan yang digariskan Presiden UMNO itu amat tepat pada masanya, khususnya dalam usaha memperkukuh semula kekuatan parti di peringkat akar umbi dan menjamin kelangsungan perjuangan UMNO dalam landskap politik semasa.

Jelasnya, kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyempurnakan Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong bersama dengan Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan Negeri Pahang telah memberikan suntikan semangat kepada anggota perwakilan dan ahli-ahli parti setempat.

“Saranan Presiden UMNO agar budaya politik dalam parti kita diwarnai dengan nilai akhlak dan sikap saling menghormati antara pemimpin lama dan baharu adalah cerminan kepada kematangan perjuangan kita. UMNO perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam mendidik nilai kepimpinan yang luhur dan berintegriti,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli UMNO Bahagian Bentong khususnya para perwakilan, ahli jawatankuasa bahagian, ketua-ketua cawangan dan jentera parti serta semua pihak yang telah memberikan komitmen tinggi bagi menjayakan persidangan terbabit.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah hadir dan turut sama memastikan kelancaran persidangan ini. Ini adalah bukti jelas bahawa semangat kebersamaan dalam UMNO masih utuh dan menjadi nadi kepada kesinambungan perjuangan kita,” ujar beliau.

Mohd Zaini turut menegaskan bahawa UMNO Bentong akan terus memainkan peranan aktif dalam menyantuni rakyat dan menyuarakan aspirasi masyarakat setempat, di samping terus memperkukuh kerjasama antara generasi pemimpin lama dan golongan muda yang bakal mewarisi legasi perjuangan parti.

“UMNO Bentong akan terus menjadi benteng kepada rakyat, meneruskan perjuangan berlandaskan prinsip dan semangat yang telah diwarisi sejak sekian lama. Kita yakin, dengan penyatuan fikrah dan tindakan yang kolektif, UMNO mampu bangkit lebih kuat dan relevan dalam mendepani cabaran mendatang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79