UMNO Bukan Batu Loncatan, Teruskan Khidmat Kepada Rakyat – Mohd Zaidy

JEMPOL, 4 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan bahawa kepimpinan UMNO yang sebenar adalah mereka yang sentiasa bersetia dan berkhidmat demi rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi.

Menurut beliau, UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi telah menjadi satu wadah perjuangan dalam kehidupan rakyat sejak penubuhannya.

“UMNO adalah jambatan antara kerajaan dan rakyat, dengan keutamaan untuk memastikan masyarakat terbela,” katanya.

Mohd Zaidy berkata, keberadaan pemimpin UMNO adalah atas nama parti, maka keutamaan mereka adalah untuk mendahulukan kepentingan rakyat sebagaimana dituntut oleh parti.

“Kepimpinan UMNO terlatih dari peringkat cawangan, bahagian dan kemudiannya diangkat ke peringkat pusat. Ini adalah hakikat perjalanan pejuang UMNO sebenar, bukan yang menjadikan parti ini sebagai batu loncatan.

“Jika ada mana-mana pihak yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi maka percayalah hayat politik mereka tidak panjang kerana UMNO memerlukan keikhlasan, bukan kepentingan diri, parti ini adalah berpaksikan realiti perjuangan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru kepada semua ahli UMNO agar terus mempertahankan prinsip parti yang telah lama menjadi pegangan iaitu ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’.

“Biarpun ada yang memilih untuk keluar parti, kita yang berakar umbi perlu kekal mempertahankan UMNO dan nilai perjuangannya,” tegasnya.

Dalam hal ini beliau mengajak anggota parti agar mengambil iktibar daripada tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar daripada UMNO untuk menyertai PKR.

“Biarpun ia sesuatu yang mengecewakan namun kita perlu jadikan ia sebagai iktibar agar kita terus istiqamah dalam perjuangan. Menyertai UMNO bukanlah satu paksaan dan perjuangan kita juga adalah berlandaskan kerelaan serta pengorbanan maka di sinilah kita perlu kuatkan tekad agar tidak sesekali mengkhinati parti yang terlalu banyak jasanya ini.”

Dalam perkembangan lain, Mohd Zaidy terus komited melaksanakan gerak kerja malah telah melawat tapak cadangan pembinaan Balai Raya Taman Desa Puteri bersama kepimpinan taman berkenaan bagi meninjau sendiri keperluan komuniti setempat.

“Balai raya bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi merupakan nadi kepada pelbagai kegiatan kemasyarakatan iaitu tempat berhimpun, bermesyuarat, berkongsi ilmu dan mengeratkan silaturrahim,” katanya.

Ujarnya, beliau amat memahami harapan penduduk yang telah lama menantikan kemudahan tersebut dan berjanji akan membawa perkara itu ke peringkat yang sewajarnya.

“Saya akan memanjangkan permohonan kepada pihak berwajib dan insya-Allah, akan pastikan usaha ini dibawa ke peringkat seterusnya agar impian warga Taman Desa Puteri untuk memiliki balai raya sendiri dapat direalisasikan, mudah-mudahan pada tahun hadapan,” jelas beliau.

Mohd Zaidy turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir serta mereka yang terus memberi sokongan.

Beliau menegaskan komitmennya sebagai wakil rakyat adalah untuk terus mendengar dan berusaha memenuhi keperluan rakyat di setiap pelusuk kawasan Jeram Padang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79