Yang Keluar Parti Memilih Jadi Gelandangan… Rumah UMNO Terus Teguh – Nik Saiful

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, Nik Saiful Adli Burhan menjelaskan UMNO adalah parti berstruktur, berdisiplin dan memiliki barisan kepimpinan yang luas serta berkaliber di pelbagai peringkat.

Menerusi satu kenyataan berkaitan situsi semasa, beliau berkata ramai tokoh UMNO yang berpengalaman dan berwibawa serta boleh diberi kepercayaan untuk meneruskan khidmat dalam kerajaan, selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

“UMNO ini ibarat sebuah rumah kita sama-sama diami, kukuh dengan asas yang cukup jelas. Tidak mungkin sebuah banglo akan berubah menjadi rumah setinggan hanya kerana seorang penghuninya keluar. Bahkan yang keluar itu mungkin memilih untuk menjadi gelandangan, tetapi rumah UMNO akan terus berdiri megah.

“Saya percaya ahli dan penyokong parti tidak resah atau gelisah dengan perkembangan kecil ini. UMNO tidak pernah dan tidak akan sesekali bergantung semata-mata kepada seorang individu untuk menjadi kuat dan kekal relevan kerana parti ini mempunyai ramai pemimpin yang berkaliber.

“Sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin besar seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj juga pernah meninggalkan UMNO. Tun Dr. Mahathir Mohamad malah keluar masuk UMNO sebanyak empat kali,” katanya.

Tambah beliau, UMNO tetap teguh berdiri sehingga ke hari ini dan menjadi tunjang politik negara dalam membela rakyat terutamanya bangsa Melayu.

“Semoga Allah SWT merahmati parti ini dan menggantikan kehilangan kecil ini dengan pemimpin yang lebih baik serta terus membela rakyat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nik Saiful, menyarankan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pelantikan seorang menteri baharu dari pemimpin UMNO yang masih setia dan aktif dalam parti.

“Saya dengan penuh hormat berpendapat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewajarnya mempertimbangkan pelantikan seorang menteri baharu daripada kalangan pemimpin UMNO yang masih setia dan aktif dalam parti, bagi mengisi kuota UMNO dalam Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

“Langkah ini, walaupun bersifat peribadi, atau apa yang beliau sebut sebagai mencari ‘keserasian’ namun mempunyai implikasi langsung terhadap kedudukan beliau sebagai wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, pelantikan tersebut bukan sahaja penting untuk memperkukuhkan kepercayaan akar umbi terhadap komitmen UMNO dalam kerajaan, malah mampu memastikan kestabilan politik terus terpelihara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79